(duduk dua dari kiri, Presiden BIPM; Wan Mohd Yusri Wan Rawi bersama (duduk dua dari kanan) Presiden MPMA, Regine Lim menunjukkan jumlah penggunaan diesel pemain industri kawalan mahkluk perosak melebihi 4.4 juta liter sebulan.

KUALA LUMPUR –  Industri kawalan makhluk perosak kini berdepan tekanan kos yang semakin meruncing susulan kenaikan harga diesel dengan pemain industri memberi amaran ia boleh menjejaskan usaha pencegahan penyakit bawaan vektor jika tidak ditangani segera.

Presiden Bumiputera Integrated Pest Management Malaysia (BIPM), Wan Mohd Yusri Wan Rawi berkata, lonjakan harga bahan api memberi kesan langsung kepada operasi lapangan termasuk aktiviti penyemburan dan logistik harian syarikat.

Menurutnya, industri berkenaan merupakan antara barisan hadapan dalam menjaga kesihatan awam melalui kawalan nyamuk dan makhluk perosak lain di kawasan perumahan serta premis.

“Ketika ini, kenaikan harga diesel dan petrol amat membebankan pengusaha, sama ada syarikat kecil mahupun syarikat besar,” katanya dalam kenyataan.

Wan Mohd Yusri berkata, ketidaktentuan harga diesel susulan krisis geopolitik antarabangsa turut menyebabkan kos operasi meningkat sehingga tiga kali ganda.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengurusan Kawalan Perosak Malaysia (MPMA), Regine Lim berkata, dalam kenyataan berasingan, sebahagian syarikat masih terikat dengan kontrak lama yang dimeterai sebelum kenaikan harga bahan api sekali gus tidak lagi selari dengan kos semasa.

Situasi itu memaksa pengusaha menanggung beban kos tinggi dan dalam beberapa kes, berdepan kerugian kewangan.

“Diesel merupakan komponen penting dalam operasi kawalan makhluk perosak, termasuk sebagai bahan pembawa dalam aktiviti penyemburan serta untuk tujuan logistik harian,” katanya.

Menurutnya, penggunaan diesel dianggarkan melebihi 4.4 juta liter sebulan melibatkan kira-kira 1,870 syarikat berdaftar di bawah Lembaga Racun Makhluk Perosak Malaysia.

Tambah beliau, kenaikan harga bahan api turut memberi kesan kepada kos racun, peralatan dan kelengkapan lain yang digunakan dalam operasi.

Dalam pada itu, Wan Mohd Yusri berkata pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan kementerian berkaitan serta menghantar surat susulan bagi memohon pertimbangan kerajaan terhadap bantuan subsidi diesel kepada industri tersebut.

Katanya, kebanyakan syarikat menggunakan kenderaan pikap untuk operasi, namun tidak termasuk dalam kategori yang layak menerima subsidi sedia ada.

Beliau berharap kerajaan dapat mempertimbangkan bantuan bersasar memandangkan industri itu memainkan peranan penting dalam melindungi kesihatan awam negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast