KUALA LUMPUR – Seorang warga emas berusia 79 tahun maut selepas motosikal yang ditunggangi bersama cucunya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Hulu Langat semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian kira-kira pukul 1.20 tengahari.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila mangsa bersama cucunya yang dalam perjalanan ke masjid melintas jalan di hadapan sebuah lori yang sedang bergerak lurus.
“Pemandu lori yang tidak menyedari kehadiran motosikal tersebut telah melanggar menyebabkan mangsa terjatuh dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan.
Dalam kejadian itu, cucu mangsa yang juga pembonceng berusia 14 tahun dan merupakan pelajar sekolah serta pemandu lori berumur 29 tahun dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Insp. Nur Faezah Binti Mohd Zakria di talian 012-3268496 bagi membantu siasatan.
Naazron menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan, berhemah dan lebih berhati-hati ketika memandu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. – MalaysiaGazette
















