Muhammad Sanusi memegang watak sebagai seorang panglima dalam filem The Keris.

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor membuat kemunculan khas dalam dunia lakonan menerusi filem The Keris yang sarat dengan elemen seni mempertahankan diri dan semangat kepahlawanan Melayu.

Beliau berkata, penglibatannya dalam filem itu bertujuan menyuntik semangat kepada generasi muda khususnya yang terlibat dalam seni silat.

“Ini pengalaman baru dalam hidup saya. Watak saya sebagai seorang panglima yang datang memberi semangat kepada pesilat-pesilat termasuk seorang pesilat yang akan bertarung dengan jaguh dari luar negara.

“Semangat kepahlawanan Hang Tuah itu dijelmakan dalam The Keris, peranan saya adalah membawa semangat itu kepada anak-anak muda yang terlibat dalam seni silat.

“Nak tengok saya berlakon, jom tonton The Keris,” katanya memetik laporan Facebook Urus Setia Penerangan Darul Aman – UPDA.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Poster, Teaser dan Trailer filem The Keris di Village Mall di Kedah.

Foto Facebook Urus Setia Penerangan Darul Aman – UPDA.

Menurut Muhammad Sanusi, filem berkenaan mengadaptasi perjuangan Laksamana Hang Tuah sebagai pahlawan Melayu ulung Nusantara dan diharap mampu memartabatkan seni serta budaya Melayu.

“Melalui filem ini kita harap generasi muda dapat mempelajari sejarah, budaya dan peradaban yang telah lama wujud di negara ini. Selain mengangkat seni dan budaya Melayu, ia dijadikan lakon layar untuk tontotan generasi muda.

“Banyak budaya dan seni diperturunkan kepada generasi muda melalui pendidikan dan perfileman, menerusi filem pun ada pengaruh negatif, jadi lebih baik kita gunakan cara sama untuk suburkan perkara positif (budaya) untuk generasi akan datang,” katanya.

Berkongsi pengalaman pertama kali di layar perak, Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas itu berkata, walaupun ia pengalaman baharu dalam hidupnya, beliau tidak berdepan kesukaran hasil bimbingan kru produksi.

“Saya beri komitmen sebab mahu angkat budaya Melayu, pengambaran dibuat pada tahun lepas. Saya dapat panduan daripada penerbit dan kru, jadi tidaklah kaku sangat berlakon. Saya cuba hayati watak dan faham mesej yang hendak disampaikan.

“Kehidupan saya pun ibarat pementasan cuma saya pentaskan perkara yang benar, tak ada skrip. Filem pula ada skrip dan jalan cerita, beza dengan kehidupan kita yang tiada jalan cerita.

“Filem semuanya dirancang dari awal sampai akhir, hero menang, saya rasa ending saya pun menang jugalah,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri Jeneri itu turut memuji usaha produksi yang disifatkan sebagai unik kerana melibatkan pelbagai kaum dalam pembikinan filem tersebut.

“Kita dapat lihat produksinya melibatkan ramai kaum India, pelakon pula orang Melayu dan budaya yang diangkat juga budaya Melayu. Ini suatu yang baik, menunjukkan masyarakat kita telah lama berasimilasi dan saling silang budaya dalam bidang perfileman.

“Melayu, India, Cina dan lain-lain telah lama hidup bersatu hati, jadi jangan rosakkan dengan perkara yang membawa kepada perpecahan,” katanya.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, penghasilan filem berunsurkan budaya bukan sesuatu yang mudah kerana memerlukan kajian mendalam.

“Untuk buat filem seperti ini bukan senang. Perlu kaji budaya Melayu dan seni silat dengan betul. Saya ucap tahniah kepada semua yang menjayakan filem ini.

“Saya harap karya itu mampu mencapai kejayaan box office serta menyampaikan mesej positif kepada masyarakat,” katanya.

Foto Facebook Urus Setia Penerangan Darul Aman – UPDA.

Beliau turut memaklumkan penampilannya dalam filem tersebut dilakukan tanpa sebarang bayaran.

“Ini percuma sahaja, tiada bayaran, sekadar cuba-cuba,” katanya berseloroh.

Dalam masa sama, Muhammad Sausi tidak menolak kemungkinan untuk kembali berlakon sekiranya ditawarkan watak yang bersesuaian.

“Kalau ada skrip dan watak yang baik, saya sedia pertimbangkan,” katanya lagi.

Filem The Keris yang dibintangi Datuk Jalaluddin Hassan, Raja Azrey Raja Kamaruzzaman dan Syazlie Syazz dijadualkan ditayangkan di seluruh negara bermula 2 Julai depan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast