KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menegaskan cadangan sistem pengambilan pekerja asing secara langsung masih di peringkat penelitian sambil menyifatkan laporan yang mendakwa ia telah dimuktamadkan sebagai mengelirukan.
“Sebarang laporan atau kenyataan yang menggambarkan seolah-olah keputusan telah dimuktamadkan adalah tidak benar dan tidak mencerminkan kedudukan sebenar kerajaan,” menurut kenyataan KESUMA hari ini.
KESUMA berkata, cadangan tersebut termasuk penerokaan platform digital berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi menambah baik ekosistem pengambilan pekerja asing khususnya di negara sumber.
Pendekatan itu membolehkan majikan mengambil pekerja asing secara langsung mengikut keperluan sebenar, merangkumi proses pendaftaran, pemilihan, padanan pekerjaan dan kontrak.
“Kos perekrutan akan ditanggung sepenuhnya oleh majikan, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah serta memastikan pekerja tidak menanggung beban kewangan,” jelasnya.
Tambah KESUMA, cadangan itu selaras dengan prinsip pengambilan pekerja adil oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa dan berpotensi menangani isu pemerdagangan manusia serta buruh paksa.
Bagaimanapun, pelaksanaan hanya melibatkan proses perekrutan di negara sumber pada peringkat pasca kelulusan kuota dan tidak menjejaskan proses sedia ada termasuk peranan agensi pekerjaan swasta.
Menurut kenyataan itu, semua cadangan masih dalam penilaian dan belum diputuskan, serta tiada sebarang komitmen atau perjanjian dibuat setakat ini. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
10 Ahli Parlimen bantah pelaksanaan sistem TURAP oleh Bestinet
















