KUALA LUMPUR – Sembilan Ahli Parlimen membantah cadangan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) untuk melaksanakan satu sistem baharu bagi pengambilan pekerja asing yang dibangunkan oleh Bestinet Sdn Bhd bernama The Universal Recruitment Advanced Platform (TURAP).
Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli; Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad; Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung; Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan; Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik; Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim; Ahli Parlimen Sungai Siput Kesavan Subramaniam dan yang terkini Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Bakar menyatakan pendirian mereka menerusi satu kenyataan bersama hari ini.
Menurut kenyataan tersebut, tiada keperluan untuk memperkenalkan satu sistem baharu memandangkan kerajaan boleh menggunakan NIISe yang dilaporkan menelan belanja lebih RM1 bilion dan dijangka beroperasi dalam 2028.
Mereka turut menegaskan bahawa, sistem dan perkhidmatan penting kerajaan yang berkaitan dengan keselamatan negara dan pekerja asing tidak boleh diswastakan melalui kaedah usaha sama awam swasta seperti yang dicadangkan melalui TURAP.
Tambahnya, sekiranya terdapat keperluan untuk mewujudkan sistem baharu, ia hendaklah mengikut spesifikasi dan keperluan yang ditentukan kerajaan serta perlu melalui proses tender terbuka.
Ini kerana kerajaan tidak boleh mempunyai beberapa sistem menguruskan pengambilan pekerja asing yang beroperasi secara serentak.
Selain itu katanya, kerajaan juga telah mengikat perjanjian untuk menggunakan Foreign Workers Centralised Management System (FWCMS) sehingga 2031.
Maka kerajaan tidak boleh memperkenalkan pula satu lagi sistem seperti TURAP yang akan memanjangkan “konsesi monopoli” kepada sebuah syarikat swasta untuk satu lagi tempoh yang panjang, iaitu 12 tahun seperti yang dilaporkan.
“Kami menyeru Kementerian Sumber Manusia menumpukan tenaga untuk meneruskan reformasi pasaran kerja seperti yang telah menjadi dasar negara di dalam Kajian Separuh Penggal RMK12 dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
“Matlamat utama reformasi pasaran kerja yang digariskan di dalam RMK13 ialah menurunkan pergantungan negara kepada pekerja asing, iaitu dengan menurunkan had maksimum jumlah pekerja asing dari 15 peratus (dari jumlah keseluruhan pekerja) dalam RMK12 kepada 10 peratus di akhir RMK13,” kata kenyataan itu.
Tambahnya, beberapa keputusan penting telah dipersetujui Jemaah Menteri, termasuklah pelaksanaan Multi Tier Levy Management (MTLM) dan Akademi Dalam Industri (ADI) yang bertujuan menggalakkan majikan mengambil pekerja tempatan dan menyediakan kerjaya berkemahiran yang disijilkan.
“Tumpuan R. Ramanan sebagai Menteri Sumber Manusia sepatutnya melaksanakan dasar-dasar negara seperti ini dan bukannya memberi fokus untuk mengukuhkan lagi kebergantungan kepada pekerja asing,” ujarnya lagi.
Tambah kenyataan itu lagi, pendirian Ramanan untuk menggunakan TURAP juga bertentangan dengan penemuan dan keputusan yang dibuat oleh badan-badan semak imbang yang telah meneliti FWCMS, antaranya Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
Katanya, PAC yang bersidang sebanyak 8 kali dalam tempoh Disember 2023 hingga Februari 2025 untuk meneliti perihal FWCMS dan Bestinet dalam laporannya bertarikh 6 Mac 2025 menyatakan, FWCMS beroperasi dan digunakan oleh Kementerian Dalam Negeri walaupun tidak ada kontrak ditandatangani di antara Bestinet dan kerajaan, sejak Surat Setuju Terima (SST) dikeluarkan pada 12 Januari 2018 hingga tarikh SST luput pada 31 Mei 2024, iaitu selama tempoh lebih 6 tahun.
Terdapat kelemahan kronik di dalam operasi FWCMS bersabit kawalan sistem, iaitu 2 ID pengguna super admin yang tidak dipegang oleh pegawai KESUMA dan 24 pengguna yang tidak sah yang meluluskan permohonan 24 majikan.
Selain itu, pelaksanaan FWCMS tidak termasuk di dalam senarai projek kerjasama awam swasta (yang membolehkan pendekatan “proof of concept” dan melepasi proses tender terbuka), seperti satu surat Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) bertarikh 30 Disember 2020.
Selain PAC, Laporan Ketua Audit Negara 2022 juga telah membuat penemuan- penemuan antaranya mengklasifikasikan keseluruhan pengurusan FWCMS sebagai “tidak memuaskan.”
Selain itu, FWCMS juga hanya digunakan untuk pengambilan pekerja asing dari Bangladesh sahaja sedangkan ada 15 negara sumber tenaga asing secara keseluruhan.
Kontrak pula tidak ditandatangan walaupun FWCMS digunakan, menyebabkan hak dan kepentingan kerajaan terjejas.
Terdapat risiko salah guna apabila ada 2 ID super admin yang tidak dipegang oleh pegawai KESUMA dan 24 lagi ID pengguna bukan kerajaan yang meluluskan permohonan kuota pekerja asing.
“Penemuan-penemuan ini secara jelas menunjukkan isu tata kelola yang kronik mengenai FWCMS dan hubungan kerajaan dengan Bestinet dalam urusan pengambilan pekerja asing.
“Maka, kenyataan Menteri Sumber Manusia, R Ramanan yang memberi gambaran seolah-olah prestasi Bestinet dan FWCMS adalah baik sangatlah bertentangan dengan prinsip tata kelola yang diulang-ulang oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” kata kenyataan itu lagi.
Tambahnya, kerajaan membuat keputusan untuk memuktamadkan perjanjian dengan Bestinet dari 1 Jun 2024 hingga 31 Januari 2031 pada caj RM215 setiap pekerja (berbanding persetujuan asal RM100 setiap pekerja) atas pertimbangan mengelakkan tuntutan Bestinet selama enam tahun (sebelum perjanjian dimeterai) dibawa ke mahkamah.
Keputusan itu juga dibuat dengan perancangan pelaksanaan National Integrated Immigration System (NIISe) yang dijangka beroperasi tahun 2028 dan membolehkan FWCMS tidak lagi digunakan.
Latar belakang ini penting untuk membolehkan orang ramai faham kenapa cadangan penggunaan satu lagi sistem baru oleh Bestinet (iaitu TURAP) mengundang kemarahan rakyat. -MalaysiaGazette
















