KUALA LUMPUR – Selaras dengan formula Automatic Pricing Mechanism (APM) harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia turun sebanyak 85 sen seliter kepada RM5.12 bagi tempoh 23 April hingga 29 April 2026 susulan penurunan harga pasaran antarabangsa.
Selain itu, Kementerian Kewangan (MOF) turut mengumumkan penurunan harga runcit petrol RON97 dan RON95 (tanpa subsidi) masing-masing sebanyak 25 sen kepada RM4.85 seliter dan 15 sen kepada RM3.87.
MOF menjelaskan, penurunan harga minggu ini adalah berdasarkan formula APM yang mengambil kira purata harga minggu terdahulu. Walaupun terdapat pelarasan, harga petroleum kekal tinggi berbanding paras sebelum konflik.
“Dengan konflik di Asia Barat yang berlarutan, Kerajaan akan terus memantau rapi perkembangan semasa dan mengambil langkah bagi memastikan keterjaminan bekalan bahan api, di samping melindungi rakyat serta sektor ekonomi daripada impak penuh gangguan rantaian bekalan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, kerajaan masih mengekalkan harga bahan api bersubsidi bersasar dengan BUDI95 berharga RM1.99 seliter, diesel bagi Sabah, Sarawak dan Labuan (RM2.15 seliter), Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (RM2.05 seliter) dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (RM2.15 seliter).
Menurut MOF, walaupun harga minyak global menunjukkan tanda penyusutan, ketidaktentuan pasaran tenaga masih berterusan dan pemulihan bekalan tidak berlaku serta-merta.
Gangguan kepada kemudahan pengeluaran di Asia Barat serta rantaian logistik dan penghantaran global memerlukan masa untuk kembali stabil.
“Sehubungan itu, Kerajaan MADANI akan terus mengambil pendekatan berhemah bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga, di samping memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin.
“Dalam tempoh ini, rakyat diseru untuk terus menggunakan bahan api secara berhemah bagi membantu memperkukuh kestabilan bekalan negara,” katanya lagi. -MalaysiaGazette
















