MUAR – Seorang Pegawai Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB ) kerugian RM273,600 selepas diperdaya scammer yang menyamar sebagai kakitangan insurans dan pegawai polis, pada Januari lalu.
Mangsa yang bekerja sebagai Penolong Pesuruhjaya Bangunan MBJB membuat laporan polis berhubung kejadian itu pukul 12.31 tengah hari semalam.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, semuanya bermula apabila mangsa merupakan lelaki tempatan berumur 48 tahun menerima panggilan pukul 10 pagi, pada 24 Disember lalu.
“Seorang individu menyamar sebagai kakitangan insurans sebelum disambungkan kepada ‘pegawai polis’ dan ‘Timbalan Pendakwa Raya’,”.
“Mangsa diarahkan membuat pinjaman peribadi dengan pihak bank, menyerahkan maklumat perbankan serta membuat beberapa transaksi kononnya bagi tujuan siasatan dan jaminan kes,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, transaksi pertama dibuat pada 5 Januari lalu sebanyak RM45,000 dan seterusnya beberapa transaksi lain termasuk pinjaman pada 30 Januari lalu.
Raiz Mukhliz memberitahu, secara keseluruhan transaksi berlaku secara berperingkat-peringkat sehingga April lalu.
“Modus operandi ialah suspek pada awalnya menyamar sebagai kakitangan insurans (Etiqa Takaful) dan mendakwa mangsa membuat tuntutan pembedahan palsu sebelum disambungkan kepada ‘pegawai polis’ dan ‘Timbalan Pendakwa Raya’,” katanya.
Tambah Raiz Mukhliz, mangsa hanya menyedari ditipu selepas mendapati wang dalam akaun berkurangan melibatkan jumlah keseluruhan kerugian RM273,600.
Jelasnya, wang mangsa adalah hasil simpanan sendiri dan pinjaman bank.
Kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dengan sebatan dan juga dikenakan denda.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati dengan panggilan telefon yang mencurigakan yang mungkin merupakan penipuan.
“Jangan dedahkan maklumat peribadi seperti nombor akaun bank, butiran kad pengenalan atau kod OTP kepada pemanggil yang tidak dikenali.
“Sentiasa mengikuti nasihat di laman media sosial seperti Facebook, Instagram, Tiktok Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) bagi mendapatkan maklumat operandi scammer,” katanya. – MalaysiaGazette
















