Kompleks Mahkamah Sepang, Selangor. Foto SYADILA AMARI, 25 APRIL 2024.

SEPANG – Seorang lelaki warga emas dihukum penjara empat bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, selepas mengaku bersalah memuat naik kandungan berunsur jelik berkaitan institusi diraja, dua tahun lalu.

Tertuduh, Mat Derus Ali, 64, didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 233(3) akta sama.

Berdasarkan pertuduhan, dia dengan sengaja menulis satu komen pada artikel berkaitan institusi diraja di sebuah portal dengan niat menyinggung perasaan orang lain.

Hantaran tersebut dikesan pada 21 Ogos 2024, kira-kira pukul 12.59 tengah hari di MCMC Tower 1, Jalan IMPACT, Cyber 6, Cyberjaya, manakala perbuatan itu dilakukan sekitar pukul 2.15 pagi, 20 Ogos 2024 menggunakan akaun Facebook miliknya.

Hakim Ahmad Fuad Othman dalam penghakimannya menegaskan isu melibatkan Raja Melayu dan institusi diraja tidak sepatutnya diperkatakan secara sewenang-wenangnya kerana boleh menjejaskan penghormatan terhadap institusi tersebut.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Fadhli Ab Wahab memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai agar tidak mengulangi kesalahan sama.

Dalam prosiding berasingan, pesara tentera, Marzuki Ismail, 52, mengaku tidak bersalah atas tuduhan membuat hantaran jelik menyentuh isu kaum, kehakiman dan institusi diraja (3R), Disember lalu.

Bapa kepada tiga anak itu didakwa menggunakan akaun Facebook miliknya untuk memuat naik kandungan yang mengaitkan Yang di-Pertuan Agong dengan satu keputusan mahkamah berhubung titah adendum, dengan niat menyinggung pihak lain.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 22 Disember 2025, kira-kira jam 2.30 petang, dan hantaran berkenaan dikesan pada 24 Disember, jam 3 pagi di lokasi sama.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin selepas pihak pendakwaan menawarkan RM10,000, serta menetapkan 9 Jun ini untuk sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast