KUALA LUMPUR — Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menggesa pembaharuan menyeluruh terhadap proses pelantikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berhubung pelantikan baharu jawatan itu.
Menurut Bersih, sebarang pelantikan bagi jawatan penting negara perlu kembali berlandaskan Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang berkaitan, selain diperkemas agar selari dengan prinsip keadilan, ketelusan dan demokrasi.
Bersih menegaskan, proses pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM perlu dilaksanakan secara telus, bebas dan berlapis bagi mengelakkan sebarang bentuk campur tangan atau penyalahgunaan kuasa.
“Proses lantikan jawatan awam yang utama seperti Ketua Pesuruhjaya SPRM (KP SPRM), yang mempunyai kuasa besar untuk menyiasat dan mendakwa kes-kes rasuah dan pecah amanah, perlu dilakukan melalui proses yang telus, bebas dan berlapis.
“Lantikan itu agar tidak ada mana-mana pihak boleh secara langsung atau tidak langsung mempengaruhi atau mempergunakan institusi penguatkuasaan sebagai senjata terhadap mana-mana pihak,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, Sultan Ibrahim bertitah Baginda akan menentukan calon terbaik bagi menerajui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bagi memastikan institusi itu terus berfungsi secara berkesan dalam memerangi rasuah dan salah guna kuasa.
“Saya akan menentukan siapa calon terbaik untuk menerajui SPRM selepas ini,” titah Baginda kepada Royal Press Office (RPO) seperti dikongsikan di akaun Facebook rasmi.
Dalam pada itu, Bersih turut menggesa penubuhan segera Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan ‘mafia korporat’ dalam SPRM secara menyeluruh dan bebas.
“Bersih sekali lagi menggesa agar satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat tuduhan mafia korporat di dalam SPRM serta menyiasat secara telus, bebas dan terbuka semua pihak yang terlibat sama ada penjawat awam, ahli perniagaan mahupun menteri atau Perdana Menteri,” tegasnya. — MalaysiaGazette
















