KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor mempersoalkan pendirian Pemuda Gerakan dan Pemuda MCA berhubung desakan Pemuda Pas supaya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan digantung daripada sidang DUN susulan kenyataan berkenaan ternakan babi.
Pengarah Komunikasi AMK Selangor, Mohammad Haziq Izwan Mohd Husni berkata, pihaknya berminat untuk mengetahui adakah Pemuda Gerakan dan Pemuda MCA mempunyai pendirian yang sama dengan Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar yang disifatkan cuba memainkan politik sentimen secara berlebihan.
Jelasnya, DUN Selangor merupakan badan perundangan tertinggi di peringkat negeri yang memainkan peranan penting dalam sistem demokrasi berparlimen di Malaysia.
Ujar beliau, ia juga adalah tempat di mana mandat rakyat dizahirkan melalui wakil yang dipilih.
“Malah, setiap Ahli Dewan Negeri (ADUN) bertanggungjawab membawa masalah penduduk di kawasan (DUN) masing-masing ke peringkat negeri, sama ada isu infrastruktur, kebajikan, pendidikan, keperluan sosial mahupun ekonomi.
“Justeru, AMK Selangor mahu Pemuda Gerakan dan Pemuda MCA menyatakan pendirian sama ada menyokong saranan Sukri Omar yang jelas tidak faham peranan ADUN serta fungsi Dewan Sidang Negeri ataupun berdiri teguh sebagai sayap pemuda yang mengerti bahawa akhirnya bukan semua perkara perlu dipolitikkan,” katanya.
Semalam, Mohamed Sukri mengecam ADUN DAP Seri Kembangan, Wong Siew Ki berhubung isu penternakan babi yang dibangkitkan dalam sidang DUN dan menyifatkan cadangan Siew Ki itu tidak boleh diterima dan jelas bersifat biadab serta tidak menghormati institusi Raja Berperlembagaan.
Sehubungan itu, Mohamed Sukri mendesak Speaker DUN Selangor dan jawatankuasa berkaitan meneliti perkara tersebut dengan serius serta mempertimbangkan tindakan tatatertib yang tegas terhadap Siew Ki.
Katanya, ia termasuk penggantungan daripada sidang DUN sehingga 12 bulan, sekiranya ADUN Seri Kembangan berkenaan didapati benar-benar membangkitkan cadangan yang bertentangan dengan titah Sultan Selangor dan mencemarkan adab terhadap institusi Raja Berperlembagaan.
Mohamed Sukri merujuk kepada cadangan Siew Ki dalam sidang DUN Selangor supaya kerajaan negeri dan pelabur mempertimbangkan penerokaan sistem penternakan babi yang tertutup dan moden di negeri itu, termasuk konsep zero discharge serta teknologi kitar semula biogas kepada elektrik. – MalaysiaGazette
















