Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali.

KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa didesak menjalankan siasatan menyeluruh terhadap individu yang disebut di dalam video tular yang mengandungi pelbagai dakwaan serius termasuk isu rasuah, salah guna kuasa dan aliran wang ke luar negara.

Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, rakaman tersebut dikaitkan dengan seorang individu dikenali sebagai Sofia Rini yang turut didakwa pernah menjadi saksi penting dalam satu kes melibatkan bekas setiausaha politik kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Katanya, dalam video itu, beberapa dakwaan berat dibuat termasuk tuduhan kononnya melibatkan penyelewengan dana bernilai besar serta kaitan pihak tertentu dengan tindakan tersebut.

Bagaimanapun, beliau berkata, semua kenyataan yang terkandung dalam rakaman berkenaan adalah dakwaan semata-mata dan belum disahkan oleh mana-mana pihak berkuasa.

“Perkongsian video berkenaan turut menimbulkan persoalan mengenai kredibiliti individu yang membuat dakwaan, memandangkan sebelum ini beliau dilaporkan pernah menyifatkan rakaman sama sebagai fitnah, namun kini kandungan tersebut dikatakan digunakan sebagai sebahagian asas dalam prosiding mahkamah melibatkan pihak lain,” katanya yang merupakan seorang peguam menerusi kenyataan.

Susulan itu, Muhammad Rafique berkata, terdapat gesaan supaya agensi penguatkuasaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menjalankan siasatan terperinci, termasuk meneliti dakwaan berkaitan rasuah, pengubahan wang haram serta pergerakan kewangan rentas sempadan.

Selain itu, kata beliau, cadangan turut dibangkitkan agar tindakan seperti notis pengisytiharan harta di bawah peruntukan undang-undang sedia ada dipertimbangkan, sekiranya terdapat asas yang kukuh untuk berbuat demikian.

Pada masa sama katanya, pihak berkuasa juga digesa memastikan sebarang siasatan dijalankan secara telus dan adil tanpa mengira kedudukan individu, selaras dengan prinsip kedaulatan undang-undang.

Sehingga kini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak berkuasa berhubung dakwaan yang tular tersebut.

Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast