Ab Rahaman menunjukkan selaras bahagian senapang patah yang merupakan antara bahan bukti kes tembak tiga mati, dalam sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Suspek dipercayai melepaskan enam das tembakan dalam kejadian dua lelaki dan seorang wanita warga Vietnam mati ditembak dalam sebuah restoran di Taman Kota Jaya, Kota Tinggi, Ahad lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, ia berdasarkan penemuan enam kelongsong peluru di tempat kejadian namun siasatan masih dijalankan sama ada semua tembakan tersebut mengenai sasaran atau sebaliknya.

“Suspek sudah memiliki lesen senjata api secara sah sejak tahun 1991. Lesen berkenaan dikeluarkan di Kuantan, Pahang. Suspek iaitu lelaki tempatan berusia 71 tahun bekerja sebagai pekebun.

“Suspek dipercayai bertindak menembak mereka susulan isu hutang RM50,000 melibatkan seorang wanita Vietnam berkenaan yang berusia 37 tahun,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Ab Rahaman berkata, suspek dipercayai memberi wang secara berperingkat-peringkat sejak 2023 untuk membantu wanita itu menguruskan kedai makan, namun tiada sebarang perjanjian bertulis dibuat.

Jelas beliau, hubungan mereka sekadar kenalan dan wanita Vietnam terbabit menguruskan premis milik keluarga mentuanya maut bersama-sama dua pelanggan lelaki.

“Kedua-dua lelaki terbabit berusia 61 dan 63 tahun yang berada di lokasi ketika insiden berlaku,” ujar beliau.

Ab Rahaman memberitahu, suspek sudah ditahan dan direman sehingga 26 April ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Kertas siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Pendakwa Raya Negeri Johor dan arahan telah diperoleh untuk mendakwa suspek atas tiga pertuduhan membunuh.

“Pertuduhan dijangka dibuat di Mahkamah Kota Tinggi pada Isnin ini,” katanya.

Tambahnya, ujian saringan mendapati suspek negatif dadah dan tidak berada di bawah pengaruh alkohol ketika kejadian.

Bagaimanapun, laporan penuh bedah siasat masih ditunggu bagi mengesahkan punca sebenar kematian mangsa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast