Dominic Lau pada sidang akhbar selepas mesyuarat pemimpin Gerakan hari ini.

KUALA LUMPUR – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) merancang mengadakan konvensyen khas pada 23 Mei depan, sebagai simbol kesiapsiagaan serta platform penyelarasan gerak kerja menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

Terdahulu, Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau berkata, parti itu hari ini mengadakan mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pusat bagi membincangkan hala tuju serta persiapan parti dalam mendepani landskap politik semasa.

Menurutnya, perbincangan kali ini memberi penekanan khusus terhadap kesiapsiagaan menyeluruh parti, termasuk memperkemas dan menggerakkan jentera di semua peringkat bagi menghadapi sebarang kemungkinan pilihan raya.

“Gerakan komited untuk memberi tumpuan penuh dalam menghadapi cabaran ini dengan strategi yang tersusun dan berfokus,” katanya menerusi laman sosial Facebook Gerakan.

Tambah Dominic, fokus utama mesyuarat turut berkisar kepada perkembangan politik semasa, di mana berdasarkan maklumat dan situasi terkini, terdapat petunjuk jelas bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka berkemungkinan berlangsung dalam masa terdekat.

Malah, ujarnya, tidak mustahil PRU-16 juga akan diadakan pada tahun ini.

“Sehubungan itu, Gerakan kini berada dalam mod siap siaga sepenuhnya dengan memperkukuh organisasi, menyusun strategi dan memastikan setiap jentera parti bergerak seiring bagi menghadapi PRN dan PRU dengan lebih tersusun, berkesan dan berdaya saing,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast