KUALA LUMPUR – Semangat kekeluargaan, warisan budaya dan perpaduan jelas terpancar dalam Majlis Makan Malam Pra-Gawai Dayak dan Sambutan Ulang Tahun Ketujuh Persatuan Anak Borneo Semenanjung (ABS) yang berlangsung penuh meriah di Puchong, malam ini.
Majlis berprestij itu menghimpunkan komuniti anak-anak Borneo dari Sarawak dan Sabah yang menetap di Semenanjung Malaysia, sekali gus menjadi simbol kesatuan hati, kekuatan identiti serta kasih yang tidak pernah luntur terhadap tanah kelahiran.
Sepanjang tujuh tahun penubuhannya, ABS terus membuktikan peranan penting sebagai jambatan yang menyatukan masyarakat Borneo di perantauan menerusi pelbagai program kebajikan, kebudayaan dan pembangunan komuniti.

Dalam ucapan perasmian, Timbalan Menteri Belia & Sukan merangkap Ahli Parlimen Mas Gading, Mordi Bimol menyatakan penghargaan tinggi kepada kepimpinan ABS atas komitmen luar biasa dalam memastikan budaya, adat resam dan nilai murni masyarakat Borneo terus subur walaupun jauh dari kampung halaman.
“Malaysia terkenal sebagai sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian kaum, agama dan budaya. Dalam kepelbagaian inilah terletaknya kekuatan kita sebagai sebuah negara bangsa.
“Walaupun berbeza latar belakang, kita dapat berkumpul dalam suasana harmoni, saling menghormati dan meraikan kepelbagaian sebagai satu kelebihan, bukannya perbezaan yang memisahkan,” katanya.
Majlis itu turut diadakan bersempena sambutan Hari Gawai Dayak yang bakal diraikan tidak lama lagi.
Perayaan yang cukup sinonim dengan masyarakat Dayak di Sarawak itu membawa makna kesyukuran atas hasil tuaian, rezeki dan keberkatan hidup.
Pada masa sama, penghormatan turut dizahirkan kepada masyarakat Sabah yang akan menyambut Pesta Kaamatan – perayaan menuai yang turut melambangkan rasa syukur, kebersamaan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum.
Pelbagai elemen budaya tradisional seperti busana etnik, muzik, tarian dan makanan warisan menyerikan majlis, menjadikannya platform terbaik untuk memperkenalkan budaya Borneo kepada generasi muda serta masyarakat umum.

Mordi turut menyeru golongan belia agar menjadi penerus legasi budaya bangsa dengan terus memelihara adat tradisi sambil memperkasakan diri dengan ilmu, kemahiran dan kepimpinan demi masa depan negara.
“Kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kekal komited menyediakan pelbagai inisiatif pembangunan belia termasuk dalam bidang kesukarelawanan, keusahawanan, kepimpinan dan pembangunan komuniti,” katanya.
Sementara itu, Presiden ABS, Ganging Ling Sanggau berkata, pihaknya berharap dapat menjalinkan kerjasama strategik bersama KBS.
Katanya, ABS sudah menjalinkam kerjasama strategik bersama Kementerian Perpaduan Negara sejak tahun 2022 dan berharap dapat bekerjasama dengan KBS khususnya dalam aspek pembangunan belia.
“ABS merancang untuk mengadakan tiga program besar khusus untuk belia Sabah dan Sarawak di Semenanjung yang merangkumi aktiviti belia dan sukan serta kepimpinan dan keharmonian.
“ABS amat mengalu-alukan kerjasama jika dapat dilaksanakan bersama KBS. Untuk pengetahuan program ini akan memakan perbelanjaan yang agak tinggi, namun pada masa sama ia dapat mempromosikan dan memartabatkan warisan budaya Borneo,” katanya. – MalaysiaGazette

















