KUALA LUMPUR – Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) meneliti keperluan menambah baik kerangka perundangan termasuk cadangan garis panduan khusus serta mekanisme audit bebas bagi pertubuhan yang mengutip dana awam pada skala tertentu.

Jelas Ketua Pengarah RoS, Datuk Mohd Zulfikar Ahmad, usaha tersebut sebahagian daripada penambahbaikan berterusan terhadap Akta Pertubuhan 1966.

Dalam masa yang sama, beliau juga menegaskan RoS akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan agensi penguatkuasaan lain termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menangani sebarang isu berkaitan salah guna dana atau pelanggaran undang-undang oleh pertubuhan berdaftar.

“RoS kekal komited untuk memastikan setiap pertubuhan berdaftar di Malaysia beroperasi secara sah, teratur dan berintegriti demi menjaga keyakinan masyarakat serta memperkukuh tadbir urus pertubuhan di negara ini,” katanya menerusi kenyataan.

Terdahulu katanya, RoS mengambil maklum laporan media yang sedang tular ketika ini berkaitan dakwaan penyelewengan dana melibatkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan nilai berjumlah jutaan ringgit yang turut dikaitkan dengan individu berpengaruh dalam media sosial.

Menurut beliau, laporan tersebut telah menimbulkan kebimbangan awam terhadap aspek ketelusan dan integriti pengurusan dana kutipan derma oleh pertubuhan berdaftar.

Mengulas lanjut katanya, sebarang aktiviti kutipan derma hendaklah dilaksanakan secara teratur, telus dan mematuhi peruntukan undang-undang serta kelulusan pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan akauntabiliti dan integriti pengurusan dana awam sentiasa terpelihara.

Sehubungan itu Mohd Zulfikar berkata, RoS sentiasa komited dalam melaksanakan fungsi kawal selia secara telus, berintegriti dan berlandaskan peruntukan Akta Pertubuhan 1966 [Akta 832] serta perlembagaan setiap pertubuhan berdaftar dalam negara.

Tambahnya, RoS akan memantau pengurusan dana pertubuhan melalui keperluan pematuhan seperti penyimpanan rekod kewangan yang lengkap, pembentangan penyata kewangan dalam Mesyuarat Agung Tahunan serta pengemukaan dokumen kepada Jabatan apabila diminta.

“Pemantauan ini merangkumi semua bentuk kutipan dana sama ada secara fizikal mahupun melalui platform dalam talian termasuk media social,” katanya lagi.

Ujar beliau, RoS melalui penguatkuasaan sentiasa melaksanakan semakan serta tindakan berdasarkan aduan, ketidakpatuhan atau pelanggaran peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

“Tindakan yang boleh diambil termasuk amaran, notis pematuhan, pembatalan pendaftaran pertubuhan serta rujukan kepada agensi penguatkuasaan lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya terdapat elemen kesalahan di bawah undang-undang berkaitan,” katanya.

Katanya, shingga 31 Mac 2026, ebanyak 314 aduan diterima berkaitan dakwaan salah guna dana melibatkan pertubuhan berdaftar dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.

Dalam tempoh yang sama, sebanyak 21,013 pertubuhan telah dibatalkan pendaftarannya bagi tempoh 2019 hingga 2026 atas pelbagai kesalahan termasuk ketidakpatuhan terhadap peruntukan undang-undang .-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast