Datuk Seri Aminuddin Harun.
Datuk Seri Aminuddin Harun.

SEREMBAN – Datuk Seri Aminuddin Harun memaklumkan beliau kekal sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan dan akan meneruskan tanggung jawab mentadbir negeri yang bakal beroperasi sebagai kerajaan minoriti.

Katanya, beliau sudah menyembah maklum situasi semasa kepada Yang di-Pertuan Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir susulan penarikan sokongan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN), hari ini.

“Setelah melalui pertimbangan sewajarnya, tuanku telah menasihati dan menitahkan agar saya meneruskan tanggungjawab mentadbir sebagai Menteri Besar seperti biasa selagi belum terdapat kejelasan muktamad mengenai perkara ini,” katanya semasa sidang media di kediaman rasmi beliau, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Agung DAP dan pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan negeri.

Tambahnya, selaras dengan peruntukan undang-undang dan Undang-Undang Tubuh kerajaan Negeri Sembilan, kerajaan negeri akan terus berfungsi seperti biasa memastikan urusan pentadbiran berjalan lancar serta kepentingan rakyat Negeri Sembilan terus terpelihara.

Sementara itu, Aminuddin yang mengaku terkejut dengan tindakan 14 ADUN UMNO dan BN menegaskan, tiada keperluan untuk membubarkan DUN Negeri Sembilan buat masa ini.

Katanya, setakat ini tiada pandangan yang dilontarkan mana-mana pihak yang menunjukkan ada keperluan bagi pembubaran DUN. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast