GEORGE TOWN – Aktivis Pertubuhan Damai Revolusi Masyarakat menggesa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menjelaskan sama ada pengiring konvoi kenderaan mewah yang tular di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP).
Timbalan Pengerusi pertubuhan itu, P. Shandrasegar berkata, pihaknya turut menuntut Jabatan Integriti menjalankan semakan dalaman bagi meneliti kemungkinan berlaku pelanggaran tatakelola atau penyalahgunaan kuasa dalam insiden berkenaan.
Jelas beliau, berdasarkan rakaman berkenaan, kelihatan sebuah motosikal dipercayai milik penguat kuasa JPJ mengiringi konvoi berkenaan, selain terdapat sebuah kenderaan utiliti sukan jenis Proton X50 yang dilihat diminta berhenti di tepi jalan bagi memberi laluan.
“JPJ perlu menjelaskan pengiring memathui SOP ditetapkan atau tidak, serta tujuan sebenar pengiring diberikan.
“Kita juga menggesa Jabatan Integriti menjalankan semakan dalaman bagi memastikan tiada penyalahgunaan kuasa atau pelanggaran tatakelola berlaku,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, Shandrasegar turut membangkitkan isu keselamatan apabila terdapat individu dalam konvoi berkenaan dilihat memandu sambil memegang kamera 360 darjah, yang berpotensi mengundang risiko kepada pengguna jalan raya lain.
“Adakah pemandu dibenarkan menggunakan peranti elektronik ketika memandu? Jika tidak, mengapa sehingga kini tiada tindakan diambil terhadap pemandu berkenaan?
“Sekiranya tindakan telah diambil, kami menggesa JPJ atau pihak berkaitan tampil memberi maklum balas agar rakyat mengetahui bahawa tiada amalan ‘double standard’ terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang.
“Perkara ini penting kerana isu ini berpotensi mencalarkan imej JPJ di mata rakyat, lebih-lebih lagi apabila video tersebut telah tular sejak semalam tanpa sebarang penjelasan rasmi,” tegasnya.
Tambah beliau, siasatan telus perlu dilaksanakan serta hasilnya didedahkan kepada umum bagi memastikan keyakinan rakyat terhadap agensi penguat kuasa tidak terjejas.
Sejak semalam tular beberapa rakaman video konvoi supercar yang dipercayai menghadiri sambutan ulang tahun ke-80 JPJ yang berlangsung di Stadium Batu Kawan, Sabtu lalu.
Rata-rata pengguna media sosial meluahkan rasa tidak puas hati serta mempersoalkan tindakan pengiring konvoi berkenaan yang mengarahkan kenderaan lain untuk memberi laluan dan penggunaan kamera 360 darjah oleh pemandu ketika memandu. – MalaysiaGazette
















