Foto: FB Aminuddin Harun.

KUALA LUMPUR – Sama ada pelantikan Menteri Besar baharu atau pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Itu adalah dua pilihan yang kini terletak sepenuhnya di bawah budi bicara Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Pakar Perlembagaan, Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, krisis politik susulan penarikan sokongan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) ini menuntut penyelesaian segera bagi mengelakkan kestabilan negeri terus tergugat.

Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof.

“Isu di Negeri Sembilan ini tidak boleh dibiarkan lama kerana ia melibatkan krisis perlembagaan yang besar. Kesannya bukan sahaja kepada politik, malah kepada rakyat dan ekonomi.

“Keputusan sama ada mahu melantik Menteri Besar baharu atau membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) perlu diputuskan segera,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Beliau berkata demikian susulan tindakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias bersama ADUN UMNO daripada BN mengumumkan menarik sokongan dan hilang kepercayaan terhadap Datuk Seri Aminuddin Harun berkuat kuasa serta-merta.

Menurut Muhammad Fathi, mengikut Perlembagaan negeri, Tuanku Muhriz mempunyai kuasa budi bicara yang jelas jika Menteri Besar sedia ada disahkan hilang sokongan majoriti.

Pertama, katanya, baginda boleh melantik seorang menteri besar yang baharu dalam kalangan ADUN yang pada hemat baginda mendapat sokongan majoriti ahli Dewan.

“Kedua, jika menteri besar memohon untuk membubarkan DUN, ia akan membawa negeri kepada PRN.

“Soal pelantikan Menteri Besar atau bubar DUN ini adalah kuasa mutlak Yang di-Pertuan Besar mengikut proses perlembagaan.

“Namun, kaedah yang lebih baik untuk mengelakkan PRN adalah dengan mengenal pasti jika ada calon Menteri Besar lain yang boleh dipersembahkan kepada baginda,” katanya.

Jelasnya, untuk membentuk kerajaan, sekurang-kurangnya 19 kerusi DUN diperlukan iaitu majoriti mudah.

“Di sinilah BN dan Perikatan Nasional (PN) perlu berbincang dan semuanya bergantung kepada komunikasi politik mereka.

“Istilah menteri besar sementara atau caretaker sebenarnya tidak wujud dalam Perlembagaan Negeri mahupun Persekutuan.

“Oleh itu, apabila legitimasi (keabsahan) seorang Menteri Besar itu hilang, seluruh kepimpinan kerajaan negeri turut hilang sokongan dan mandat tersebut kembali ke tangan istana,” katanya lagi.

Tambah Muhammad Fathi, apabila menteri besar hilang sokongan, segala-galanya kembali kepada Yang di-Pertuan Besar.

“Baginda mungkin perlu mengadakan pertemuan dengan ADUN-ADUN untuk mengesahkan sama ada mereka sekadar menarik sokongan atau sudah mempunyai nama calon Menteri Besar yang baharu.

“Selepas itulah budi bicara baginda untuk membuat sebarang keputusan,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, beliau berkata, apa yang berlaku di Negeri Sembilan merupakan satu isyarat penting buat negeri-negeri lain.

“Tidak mustahil situasi serupa boleh berlaku di peringkat nasional jika prinsip Perlembagaan tidak dihormati,” tegas beliau.

Tumpuan kini terarah kepada Yang di-Pertuan Besar untuk memulakan proses semakan dengan Menteri Besar bagi menentukan hala tuju pentadbiran negeri sama ada akan menyaksikan peralihan kuasa secara dalaman atau mandat rakyat terpaksa dicari semula di peti undi.

Terdahulu, Jalaluddin menerusi siding media di Seremban hari ini memaklumkan keputusan menarik sokongan itu dibuat secara sebulat suara susulan krisis yang disifatkan boleh menjejaskan pentadbiran negeri.

Beliau berkata, kepimpinan negeri sewajarnya bertindak dengan kebijaksanaan dalam mendepani situasi semasa bagi memastikan keyakinan rakyat tidak terus terhakis.

Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kepentingan rakyat serta negeri secara keseluruhan.

Jalaluddin turut menegaskan, pihaknya kekal komited mempertahankan institusi adat, Perlembagaan serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan sebagai asas pentadbiran.

Keutamaan ketika ini adalah memastikan sebuah kerajaan yang stabil dapat dibentuk bagi menjamin kelangsungan pentadbiran negeri serta memberi fokus kepada kesejahteraan rakyat dan pengukuhan ekonomi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast