KUALA LUMPUR – Mahkamah Persekutuan menetapkan 30 Jun ini bagi memutuskan rayuan akhir pendakwa raya untuk mengetepikan pembebasan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada sabitan dan hukuman kes penyelewengan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Perkembangan tersebut dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin kepada pihak media hari ini.
Keputusan tersebut akan disampaikan oleh panel tiga hakim diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais yang bersidang bersama-sama Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Panel berkenaan mendengar rayuan akhir pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan melepas dan membebaskan Ahli Parlimen Muar itu daripada pertuduhan yang dihadapinya.
Rayuan itu didengar pada 11 dan 12 Disember tahun lalu.
Pada 25 Jun tahun lalu, Mahkamah Rayuan melepas dan membebaskan Syed Saddiq daripada tuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Armada.
Pada 9 November 2023, Mahkamah Tinggi mensabit dan mengenakan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta atas kesalahan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana berkenaan.
Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali yang diamanahkan dana Armada berjumlah RM1 juta untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2, di ibu negara pada 6 Mac 2020.
Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada.
Perbuatan itu menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya, Kuala Lumpur antara 8 dan 21 April 2018.
Syed Saddiq juga disabitkan atas dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.
Beliau dituduh melakukan kesalahan tersebut di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. – MalaysiaGazette
















