Kesemua mangsa berjaya diselamatkan dengan bantuan sebuah bot nelayan.

BAYAN LEPAS – Tiga pelancong warga Vietnam berdepan detik cemas apabila sesat ketika melakukan aktiviti pendakian dalam hutan di Gertak Sanggul Hill di sini, semalam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian jam 6.15 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Balik Pulau digerakkan ke lokasi.

Katanya, ketiga-tiga mangsa yang terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita berusia antara 32 hingga 36 tahun itu berjaya dihubungi dan berkongsi lokasi mereka melalui aplikasi WhatsApp selepas didapati tersesat ketika turun dari laluan pendakian.

“Mangsa memulakan pendakian dari Gertak Sanggul sebelum turun ke kawasan Pulau Cermin, namun tersasar hingga berada di kawasan pantai.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan berpandukan lokasi yang diberikan mangsa.

“Susulan itu, sebuah bot nelayan tiba di lokasi mangsa jam 7.50 petang sebelum membawa mereka keluar dan dihantar semula ke Gertak Sanggul,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, kesemua mangsa ditemukan dalam keadaan selamat dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi yang melibatkan enam anggota termasuk penyelia itu tamat sepenuhnya pada jam 9.38 malam,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast