Gabenor Datuk Abdul Rasheed Ghaffour di Bank Negara Malaysia bersama Menteri Kuskop, Steven Sim.

PUTRAJAYA –  Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong menyambut baik pengumuman Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai kemudahan SME Stabilisation Relief Facility (SME SRF) berjumlah RM5 bilion bagi menyokong Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

Beliau berkata, inisiatif itu tepat pada masanya dalam membantu PMKS yang terjejas akibat gangguan rantaian bekalan global susulan konflik Asia Barat yang berterusan.

Menurutnya, perkara itu turut dibincangkan dalam pertemuannya dengan Gabenor Datuk Abdul Rasheed Ghaffour di Bank Negara Malaysia, memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh ekosistem pembiayaan dan penskalaan PMKS.

“Kita perlu memperluas akses pembiayaan yang lebih inklusif, khususnya kepada usahawan baharu dan peminjam kali pertama agar mereka tidak tercicir dalam keadaan ekonomi mencabar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak turut membincangkan pendekatan pembiayaan hibrid atau blended financing yang menggabungkan kekuatan sektor kewangan dan pasaran modal bagi menyokong pertumbuhan PMKS.

Steven berkata, cabaran semasa memerlukan pendekatan menyeluruh melibatkan kerajaan, institusi kewangan dan seluruh ekosistem keusahawanan.

“Sokongan kepada PMKS tidak boleh bersifat terasing. Ia memerlukan kerjasama ‘all hands on deck’ bagi memastikan perniagaan tempatan terus bertahan dan berkembang,” ujarnya.

Beliau menegaskan kementeriannya komited bukan sahaja memastikan kelangsungan PMKS malah membantu mereka meningkatkan produktiviti serta melonjak ke tahap lebih tinggi.

Sehingga Mac lalu, pembiayaan kepada PMKS oleh institusi perbankan dan institusi kewangan pembangunan mencecah RM443.8 bilion, merangkumi hampir 51 peratus daripada keseluruhan pinjaman perniagaan.

Menurutnya, angka itu mencerminkan asas kukuh yang boleh diperkasa lagi melalui sokongan berterusan daripada pelbagai pihak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast