MAKKAH – Malaysia sekali lagi terpilih menjadi antara negara terawal di dunia yang berjaya mengagihkan Kad Nusuk sepenuhnya kepada para jemaah haji di dalam negara sendiri bagi musim haji 1447H/2026M.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Mustakim Mohamad berkata, projek ini adalah hasil kerjasama erat tiga penjuru di antara Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, TH dan syarikat Holiday Inn Bakkah iaitu sebuah syarikat pengendali jemaah haji Malaysia di Tanah Suci.
“Alhamdulillah, Malaysia dipilih menjadi antara negara terawal untuk inisiatif ini yang merupakan kesinambungan kejayaan projek rintis pada musim haji tahun lepas yang mana Malaysia melakar sejarah sebagai negara pertama yang dipilih untuk mengedarkan Kad Nusuk kepada para jemaah sebelum berangkat ke Tanah Suci.
“Kejayaan ini adalah bukti kerjasama akrab di antara dua negara dalam usaha berterusan untuk menyediakan kemudahan dan keselesaan kepada jemaah haji.
“Selari dengan matlamat TH untuk memudahkan urusan perjalanan teragung jemaah haji, inisiatif ini membolehkan persiapan haji yang teratur, mengelakkan kesesakan semasa ketibaan di Arab Saudi dan menjamin kelancaran perjalanan ibadah jemaah haji Malaysia,” kata beliau di sini.
Kad Nusuk yang berfungsi sebagai dokumen rasmi pengenalan diri jemaah haji ini mengandungi pelbagai maklumat komprehensif berkenaan data penting jemaah dan turut berfungsi sebagai permit kebenaran bagi membolehkan jemaah memasuki kawasan Masjidil Haram, Masjid Nabawi, Arafah, Muzdalifah dan Mina.
Mustakim mengingatkan semua jemaah untuk menjaga kad pengenalan diri dan Kad Nusuk dengan sebaiknya kerana kawalan keselamatan akan dipertingkatkan oleh pihak berkuasa Arab Saudi terutamanya di laluan masuk kawasan-kawasan menunaikan ibadah haji. – MalaysiaGazette
















