Foto: Sumber SPRM

KUANTAN – Seorang pegawai kanan polis direman lima hari bermula hari ini selepas disyaki terlibat dalam kegiatan rasuah bagi melindungi operasi pusat hiburan tidak sah di sebuah daerah di Pahang.

Perintah reman sehingga 2 Mei 2026 itu dikeluarkan Majistret Ellyna Mahussin selepas permohonan dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Kuantan, pagi tadi.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 50-an itu ditahan kira-kira jam 2 petang semalam di kediamannya dalam satu operasi khas.

“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai meminta dan menerima rasuah kira-kira RM64,000 sebagai balasan melindungi kegiatan pusat hiburan tidak sah.

“Perbuatan itu dipercayai dilakukan antara tahun 2020 hingga 2023 ketika suspek bertugas di salah satu daerah di negeri ini,” katanya.

Difahamkan suspek dipercayai menerima bayaran secara bulanan daripada dua pemilik pusat hiburan melalui pemindahan wang terus ke akaun bank peribadinya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Pahang, Mohd Shukor Mahmud ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast