Mohd Fahmi Kamarudin (tengah).

MAKKAH – Semua jemaah haji Malaysia diminta menggunakan aplikasi THhujjaj yang dibangunkan oleh Lembaga Tabung Haji (TH) bagi memudahkan mereka akses kepada segala maklumat yang diperlukan sepanjang berada di Tanah Suci.

THhujjaj menyediakan rujukan panduan ibadat, e-Taib (rujukan fatwa/persoalan) melalui Live Chat/WhatsApp untuk bimbingan pantas, jadual penerbangan, jadual pergerakan jemaah di Tanah Suci, informasi cuaca, lokasi maktab dan hospital dan nombor telefon Pusat Panggilan TH.

Pengarah Operasi Maktab, Mohd Fahmi Kamarudin berkata, THhujjaj ini telah dibangunkan dengan lebih komprehensif tahun ini, termasuk mewujudkan peta interaktif yang dibangunkan oleh Jabatan Haji.

Menurutnya, peta interaktif itu dapat membantu jemaah haji mengetahui kedudukan mereka ketika berada di Makkah, di masyair dan Madinah.

“Dalam aplikasi THhujjaj tu ada maklumat check point, yang boleh digunakan jika tersesat untuk pulang ke maktab,” katanya kepada media.

Shamsul Kamal Hussein Kamal

Sementara itu, Pengurus Operasi Teknologi Maklumat, Shamsul Kamal Hussein Kamal berkata, aplikasi ini secara ringkasnya adalah bahan rujukan jemaah haji dan ia hanya boleh diakses secara eksklusif pada tahun haji semasa sahaja.

Aplikasi ini, katanya, boleh dimuat turun dari Malaysia, cuma apabila tiba di Tanah Suci, waktu solat akan merujuk waktu di Makkah dan Madinah.

“Sistem ini juga mempunyai rujukan cuaca, jadi senang untuk jemaah haji merancang bila hendak keluar. Dan dalam itu juga ada lokasi kalau di Makkah, hotel di mana. Di Madinah, hotel di mana. Dan semasa pergerakan di Arafah dan Mina pun ada juga.

“Begitu juga ada lokasi penempatan di Madinah, di Makkah, di Arafah dan di Mina. Jadi, katalah jemaah tersasar, mereka boleh tengok pada THhujjaj untuk dapatkan lokasi (nak balik).

“Pada waktu sama Bahagian Jabatan Haji TH ataupun petugas haji akan dapat membantu memberi panduan untuk balik ke maktab masing-masing,” tambahnya.

Shamsul Kamal berkata, aplikasi ini boleh dimuat turun dari Apple App Store atau Google Play Store. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast