MAKKAH – Enak mana pun masakan Arab, sedap lagi masakan Malaysia!
Sebab itu sejauh mana pun ‘terbang’ ke negara orang, pastinya tekak serba tak kena jika bangun pagi tanpa nasi lemak dan teh tarik mahupun kopi panas.
Prihatin dengan kegelisahan yang sering dialami oleh jemaah Malaysia yang tiba di sini, mendorong Hairuddin Omar membuka Cafe Citarasa Malaysia di Hotel Rehab Janadriyah yang menawarkan masakan Melayu.
Menurutnya, harapan beliau hanya satu – tidak mahu jemaah umrah atau haji yang datang ke Makkah hilang fokus beribadah kerana masalah makan.
“Dari situlah idea untuk membuka restoran makanan Malaysia di sini. Jemaah haji selalunya datang ke Tanah Suci dalam tempoh 45 hari sudah tentu rindu masakan Malaysia.
“Jadi di sini saya hidangkan 100 peratus masakan Malaysia untuk mereka,” katanya ketika ditemui di kafenya.

Hairuddin yang dikenali sebagai Hai O berkata, Cafe Citarasa Malaysia menawarkan menu wajib kegemaran rakyat Malaysia antaranya nasi dagang, nasi kerabu, nasi lemak, lontong, mee kari roti canai dan asam pedas.
Untuk memastikan hidangan menepati rasa Malaysia, Hai O ‘mengeksport’ tiga tukang masak dari tanah air untuk memasak di ‘central kitchen’ yang terletak di Kudai, Makkah.
Selain beroperasi di Hotel Rehab Janadriyah, kafe miliknya turut membekalkan makanan untuk sarapan pagi di Hotel Kiswah dan Hotel Abraj Janadriyah, kedua-duanya merupakan penempatan jemaah haji Malaysia.
Katanya, setiap hari kafe tersebut akan menghidangkan menu berbeza.

“Tetapi nasi lemak, mee goreng, roti canai, mee kari kita hiding setiap hari. Nasi kerabu, nasi dagang, lontong kita masak selang seli, dua hari atau tiga hari sekali.
“Untuk makanan tengah hari pula, lauk asam pedas, ikan kembung rebus cicah air asam, masak lemak cili api, tempoyak antara hidangan yang dimasak,” tambahnya.
Petang pula, keropok lekor dengan pencicah sos cili turut dijual.
Hai O berkata, bagi melengkapkan hidangan yang ada, kafenya turut menjual Maggi, kicap, sos cili yang dibawa dari Malaysia.
Malah, makanan tersedia dimakan seperti sambal belacan, sambal petai, sambal bilis dan acar buah di bawah jenama Adeqsue turut dijual di sini.
“Orang Malaysia ni tak boleh lari daripada sambal, jadi kita ‘sambalkan’ mereka di bumi Makkah ini,” ujarnya.
Mengenai cabaran membuka perniagaan di sini, Hairuddin berkata, pihaknya perlu mematuhi peraturan ketat Arab Saudi dalam aspek keselamatan penyediaan makanan, logistik dan pensijilan dapur.
Bagi memastikan kualiti rasa dikekalkan, ada bahan-bahan mentah dibawa dari Malaysia terutama rempah, selain menggunakan yang sedia ada di negara ini.
“Bahan mentah di sini tak mahal berbanding Malaysia cuma kos logistik dan dokumentasi agak tinggi,” ujar beliau. – MalaysiaGazette
















