KUALA LUMPUR – Laman sosial Facebook Dr MAZA Channel yang dikaitkan dengan Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin tidak lagi boleh diakses sejak malam tadi.
Perkara itu dimaklumkan menerusi laman sosial Facebook PROmedia TAJDID yang mendakwa laman Facebook Dr MAZA Channel sebelum ini telah disekat.
“Page Dr Maza Channel sebelum ini telah disekat. Page baharu ini dikendalikan oleh Team Media Dr MAZA dan akan menyampaikan kuliah, penulisan serta pandangan semasa beliau,” kata laman Facebook PromediaTajdid.

Semakan MalaysiaGazette turut mendapati laman Facebook Dr MAZA Channel yang sebelum ini mempunyai ramai pengikut tidak lagi wujud.
Bagaimanapun, wujud halaman Facebook baharu yang dipercayai ada kaitan dengan Dr Maza iaitu Media Team Dr MAZA.
Sementara itu, pendakwah bebas yang juga Rektor Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ), Prof. Dr. Muhamad Rozaimi Ramle turut mengesahkan sekatan yang dikenakan terhadap laman Facebook Dr Maza.
“Ramai yang bertanya saya tentang Page FB Dr MAZA Channel. Siap ada yang tuduh kononnya Dr MAZA sendiri yang tutup page beliau.
“Nah, baca sendiri gambar di bawah. Meta sendiri yang tutup page beliau.
“Buat sementara waktu, anda boleh ikuti tulisan beliau di IG drmaza_official,” katanya menerusi laman Facebooknya hari ini.
Selain menyampaikan kuliah agama, Mohd Asri menerusi laman Dr MAZA Channel sebelum ini turut berkongsi pandangan mengenai pelbagai isu lain termasuk berkenaan politik. – MalaysiaGazette
















