Pelbagai spesies burung dilindungi tanpa lesen sah ditahan di Bandar Uda Utama, Johor Bahru malam tadi.

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki tempatan yang menyimpan pelbagai spesies burung dilindungi tanpa lesen sah ditahan di Bandar Uda Utama, di sini malam tadi.

Lelaki berusia 37 tahun itu ditahan dalam operasi bersepadu polis melalui Cawangan Risik Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Bukit Aman Zon Selatan bersama-sama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) pukul 8.45 malam.

PSP dalam satu kenyataan memberitahu, serbuan tersebut dijalankan  hasil maklumat awam di sebuah premis kediaman.

“Hasil pemeriksaan menemukan 16 ekor burung pelbagai spesies antaranya ‘sun conure’, ‘green cheeked parakeet’, ‘ringed neck parakeet’ dan ‘sulphur crested cockatoo’, serta satu trofi hidupan liar disyaki tanduk rusa,” jelas kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan, suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen atau lesen sah daripada pihak berkuasa bagi pemilikan dan penyimpanan hidupan liar tersebut.

Jelasnya, semua hidupan liar dan barangan dirampas yang dianggarkan bernilai RM62,381 diserahkan kepada Perhilitan Johor untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) khususnya Seksyen 60(1)(a) iaitu kesalahan menyimpan hidupan liar dilindungi dan bahagian hidupan liar tanpa lesen sah.

Operasi bersepadu berkenaan dilaksanakan selaras pendekatan Reformasi Karenah Birokrasi (RKB) bagi memperkukuh keberkesanan penguatkuasaan antara agensi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast