Terdapat 61 kesan tikaman pada seluruh badan mayat wanita yang ditemukan di Ketereh, Kelantan.

KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan terdapat 61 kesan tikaman pada anggota badan mayat seorang wanita yang ditinggalkan di atas jalan Kampung Simah, Ketereh, Kelantan, tengah malam tadi.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, mangsa dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dibuang di lokasi berkenaan.

Katanya,mangsa ditinggalkan tanpa sebarang dokumen pengenalan diri namun pihak polis sudah mengenal pasti identiti mayat berkenaan berdasarkan semakan cap jari oleh Jabatan Pendaftaran Negara.

Menurut beliau pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati mangsa memakai rantai leher dengan ukiran nama ‘SYAA’, seutas rantai tangan di pergelangan tangan kiri serta sebentuk cincin di jari tengah tangan kanan.

Polis turut menemukan seutas manik berwarna-warni, cermin mata dan sehelai selendang warna belacan pada mangsa.

“Pemeriksaan awal oleh Pasukan Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menemui 61 kesan tikaman pada tubuh mangsa bermula di bahagian muka hingga ke kaki dengan kebanyakan kecederaan tertumpu kepada bahagian kanan badan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mohd Yusoff berkata, bantuan anjing pengesan (K9) juga digerakkan bagi membuat pengesanan sekitar 30 meter radius kawasan terbabit.

Menurut beliau, lokasi kejadian adalah merupakan kawasan sawah padi yang gelap tanpa pencahayaan lampu jalan. Jarak dengan rumah penduduk terdekat adalah 47 meter.

Katanya, mayat dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Tambah beliau, siasatan lanjut masih diteruskan dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta tampil untuk membantu siasatan dengan menghubungi Asisten Superintendan Ganesan di talian 012-5691204,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, seorang wanita berusia sekitar 20-an ditemukan di tepi jalan di Kampung Kubang Kiat, Ketereh, jam 12.30 malam tadi oleh penduduk kampung.

Mangsa ditemukan dalam keadaan mengiring dan berlumuran darah dipercayai ditikam dengan kecederaan parah di seluruh tubuh. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast