JOHOR BAHRU – Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menjelaskan interaksi seorang pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tular baru-baru ini, telah disalah tafsir sehingga menimbulkan pelbagai reaksi negatif termasuk kecaman terhadap pelajar terbabit,
Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi menggesa orang ramai agar menghentikan semua bentuk kecaman atau spekulasi berhubung isu tersebut.
Tegasnya, tiada sebarang isu berbangkit dalam interaksi tersebut.
“Tindak balas pelajar itu wajar dilihat sebagai reaksi spontan yang mungkin dipengaruhi perasaan gemuruh apabila berhadapan dengan Ahli Parlimen serta di khalayak ramai,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Khaled, semua pihak perlu lebih berhemah dalam memberi reaksi khususnya apabila melibatkan pelajar, bagi mengelakkan kesan negatif terhadap emosi dan kesejahteraan mereka.
Katanya, kejayaan pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang SPM itu seharusnya diberi tumpuan dan diraikan.
Terdahulu, tular rakaman video memaparkan interaksi antara Khaled dan pelajar cemerlang berkenaan di platform Threads yang mengundang kecaman daripada segelintir pihak.
Menerusi video itu, pelajar perempuan terbabit dilihat hanya menjawab “mahu jadi orang” sambil ketawa ketika ditanya berhubung cita-citanya apabila menjadi dewasa kelak, sekali gus mengundang pelbagai reaksi netizen yang menyifatkan jawapan tersebut sebagai tidak sopan.
Kejadian berlaku ketika Khaled menghadiri sesi interaksi santai bersama para pelajar semasa Majlis Menyantuni Bakal Jemaah Haji 2026 serta Majlis Inspirasi Cemerlang SPM 2025 peringkat Parlimen Kota Tinggi, Dewan Undangan Negeri Sedili, baru-baru ini.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan komitmen berterusan semua pihak dalam menyokong pembangunan sahsiah serta kecemerlangan generasi muda.
Katanya, setiap program yang melibatkan pelajar perlu diraikan dalam suasana positif dan membina. -MalaysiaGazette
















