Poster menunjukkan Himpunan Aman Pesawah yang dijadual berlangsung esok di Kampung Alor Setol, Kedah.

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menyatakan sokongan penuh terhadap Himpunan Aman Pesawah yang dijadual berlangsung esok di Kampung Alor Setol, Kedah bagi menuntut kenaikan harga lantai padi susulan tekanan kos yang semakin meningkat sehingga menjejaskan kelangsungan hidup petani.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, himpunan itu bukan bermotifkan politik sebaliknya merupakan kebangkitan rakyat khususnya golongan pesawah yang semakin terhimpit dengan kenaikan harga diesel dan kos sara hidup.

Menurut beliau, situasi yang dihadapi pesawah kini menyerupai kebangkitan rakyat di Baling pada 1974 apabila kemiskinan memaksa rakyat bangkit menuntut pembelaan terhadap harga komoditi.

“Ketika ini harga lantai padi sekitar RM1,500 per tan metrik, namun kos pengeluaran juga mencecah jumlah yang sama. Ini bermakna pesawah bekerja tanpa sebarang keuntungan,” katanya dalam kenyataan.

Ibrahim menegaskan, keadaan itu tidak mampan dalam jangka panjang kerana tiada industri mampu bertahan jika pendapatan sekadar menampung kos tanpa lebihan untuk kehidupan harian.

Katanya lagi, peningkatan kos diesel, jentera, baja dan racun yang tidak selari dengan harga lantai padi menyebabkan pesawah terus tertekan, sekali gus menuntut kerajaan menyemak semula kadar harga semasa.

Sehubungan itu  tuntutan untuk menaikkan harga lantai padi kepada sekitar RM1,800 hingga RM2,000 per tan adalah munasabah bagi memastikan pesawah dapat meneruskan kehidupan dengan lebih stabil.

Pada masa sama, beliau turut membangkitkan isu pelaksanaan sistem kad fleet yang didakwa masih tidak menyeluruh dan menyukarkan pesawah mendapatkan bekalan diesel bagi operasi pertanian.

“Jika kerajaan serius membantu, sistem ini perlu dilaksanakan secara telus dan mudah tanpa birokrasi yang membebankan,” ujarnya.

Tambah beliau, aspek keterjaminan makanan negara juga tidak boleh dipisahkan daripada kebajikan pesawah kerana sektor tersebut merupakan asas kepada kedaulatan makanan.

Menurutnya, pesawah tidak meminta simpati, sebaliknya menuntut keadilan dari segi harga yang munasabah serta kos operasi yang terkawal bagi membolehkan mereka terus bekerja dengan bermaruah.

Beliau turut mencadangkan agar kerajaan menilai semula sistem pencen ahli politik sebagai langkah penjimatan yang boleh disalurkan bagi menampung kenaikan harga lantai padi.

“Himpunan ini adalah isyarat awal. Jika suara pesawah terus diketepikan, rakyat akan menilai kegagalan ini sebagai kegagalan kepimpinan dalam membuat keputusan yang berani dan adil,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast