Mohamad Zamarul Hafiz Ho Abdullah bersama isteri, Kamariah Othman.

MAKKAH – “Dulu, sebelum saya memeluk Islam, setiap kali melihat orang pergi ke Makkah, dalam hati saya tertanya-tanya… kenapa mereka sanggup berbelanja begitu besar? Bagi saya waktu itu, seolah-olah membazir. Di sini pun ada masjid, kenapa perlu pergi sejauh itu?”.

Demikian luahan Mohamad Zamarul Hafiz Ho Abdullah yang mengakui pandangannya berubah sepenuhnya selepas mengenali Islam dan menjejakkan kaki ke Tanah Suci.

“Masa itu saya pandang begitu. Sekarang bila saya sudah Islam dan sampai ke sini, baru tahu nikmatnya lain. Rasanya lain. Kita boleh rasa Kaabah yang betul. Kita rasa kita makhluk Allah yang kecil,” kata dengan penuh keinsafan.

Zamarul mengakui perjalanan hidupnya sebagai mualaf sehingga menjadi tetamu Allah bukanlah mudah.

Di sebalik ketenangan yang dinikmati hari ini, tersimpan kisah yang sarat dengan air mata dan pengorbanan.

Mengimbau perasaan pertama kali jatuh cinta pada Islam, Zamarul berkata, semuanya bermula apabila dia terpesona dengan bacaan surah Alfatihah.

“Saya bekerja berhampiran masjid. Setiap kali masuk waktu Maghrib, saya akan dengar bacaan Al-Fatihah… dan di penghujungnya, semua orang menyebut ‘amin’ bersama-sama. Waktu itu, saya rasa sesuatu yang sukar dijelaskan… satu rasa kebersamaan. Saya lihat Islam itu menyatukan,” katanya dengan suara bergetar.

Mohamad Zamarul Hafiz Ho Abdullah bersama isteri, Kamariah Othman.

Menurut Zamarul, surah Alfatihah membuatnya tenang dan selesa hingga timbul satu perasaan halus yang membawa kakinya melangkah ke masjid.

Katanya, dia berusaha membaca Alfatihah dengan menulis setiap satu perkataan, sebelum akhirnya memeluk agama Islam pada tahun 2006.

Namun, hidayah yang terindah baginya datang dengan harga yang mahal.

Keputusannya bernikah secara senyap tanpa pengetahuan keluarga akhirnya terbongkar. Dia kehilangan segala-galanya – rumah dan kereta yang pernah diberikan oleh keluarga ditarik semula.

Lebih tragis, beliau dihalau oleh keluarga sendiri.

“Saya tiada pilihan ketika itu… saya minta bantuan pertubuhan Cina Muslim untuk mulakan hidup baharu. Alhamdulillah, saya pilih Kedah. Saya cuma nak jadi manusia,” katanya tenang.

Di sisi beliau, isterinya, Kamariah Othman, 45, tidak dapat menahan air mata sambil sesekali memandang suaminya yang bercerita dengan getar suaranya.

Pasangan Mohamad Zamarul Hafiz Ho Abdullah bersama isteri, Kamariah Othman melihat barang yang dijual di sebuah kedai di Hotel Al Tayseer, Makkah.

Sebagai bapa kepada lima anak, Zamarul berkata, dia melakukan apa sahaja pekerjaan demi memastikan keluarganya dapat makan.

“Kadang-kadang kita tengok anak-anak orang makan KFC, semua boleh dapat. Kita makan apa? Sup sayur dan ikan. Beli ikan termenung 5 kilo untuk seminggu, begitulah,” ujarnya sebak.

Namun, di sebalik kesempitan itu, ada satu impian yang terus hidup dalam hatinya – untuk melihat Kaabah dengan mata sendiri.

Dengan simpanan sekitar RM3,000 dan bantuan orang sekeliling, beliau menjejakkan kaki ke Tanah Suci untuk umrah pertama pada tahun 2011.

“Depan Kaabah, saya berdoa Islamkan mak, ayah,” ujarnya dengan genangan air mata.

Doa Zamarul itu tidak sia-sia apabila hubungan yang pernah retak mula bertaut apabila ibu bapanya datang menziarahi cucu-cucu mereka.

Zamarul berkata, selepas pulang umrah, dia terus berusaha menabung kerana berpegang dengan nasihat ustaz bahawa seorang Muslim wajib menunaikan rukun Islam kelima jika berkemampuan.

Dia membuka akaun Tabung Haji dengan bayaran RM10 dan konsisten menyimpan RM200 setiap bulan dan akhirnya, penantian itu dimakbulkan.

Pada musim haji 1447H, Zamarul dipilih menjadi tetamu Allah bersama isterinya.

“Perasaan itu… tak tahu nak gambarkan. Bila masuk Rawdah, hati rasa tenang, bahagia… memang tak boleh diungkap dengan kata-kata,” katanya.

Kini, Zamarul tidak lagi melihat Makkah seperti dahulu kerana baginya, di sinilah tempat air mata, pengorbanan dan doa yang dipanjatkannya selama ini akhirnya menemukan jawapan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast