Foto IG Azeem.

KUALA LUMPUR – Pelari pecut negara, Muhammad Azeem Mohd. Fahmi kembali mempamerkan peningkatan prestasi yang semakin positif apabila berjaya mencatat 10.08 saat (s) dalam acara 100 meter (m) pada East Coast Relay yang berlangsung di Jacksonville, Florida, Amerika Syarikat hari ini.

Namun masa itu tidak dapat diiktiraf sebagai catatan rasmi buat Azeem kerana terdapat bantuan angin +4.1 m/s di mana mengikut peraturan antarabangsa, bantuan angin hanya dibenarkan setakat +2.0 m/s sahaja.

Dalam aksi saringan pertama itu, Azeem bersaing dengan beberapa pelari terbaik namun berjaya menamatkan larian itu di tempat keempat.

Pujian harus diberikan kepada pelari kelahiran Perak itu apabila catatan 10.08s itu membolehkannya berada di kedudukan keempat daripada 59 pelari yang mengambil bahagian.

Pelari dari Universiti Tennessee, Traunard Folson berada di kedudukan pertama dengan catatan 9.93s (+4.1 m/s) sementara rakan Azeem Fahmi dari Universiti Auburn, Kanyinsola Ajayi dan Omari Lewis menamatkan saingan di kedudukan kedua serta ketiga dengan catatan 9.99s (+4.1 m/s) dan 10.05s (+4.1 m/s).

Meskipun catatan masa yang dilakukan pelari berusia 22 tahun itu dibantu angin, ia tetap satu perkembangan positif buat dirinya.

Untuk rekod, pada bulan lalu, Azeem melakukan catatan 10.17s pada saingan Tom Jones Memorial di Percy Beard Track, Gainesville, Florida.

Catatan masa itu juga adalah antara yang terbaik sejak beberapa tahun kebelakangan ini sekali gus menjadi tonik terbaik buat Azeem memburu masa lebih baik selepas ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast