KUALA LUMPUR – Keluarga pasangan suami isteri yang maut selepas motosikal mereka dirempuh pemandu dipercayai mabuk di Jalan Ampang di sini, memohon diberikan ruang.
Keluarga mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Shantis berkata, mereka memerlukan masa untuk menerima kejadian yang menimpa pasangan suami isteri berkenaan.
“Maaf buat masa sekarang kami perlukan masa utk overcome all these. Hope you can understand. Thank you,” katanya kepada pemberita.
Difahamkan, pasangan suami isteri itu, A. Doraisingam dan A. Menagah selamat disemadikan kira-kira pukul 2.30 petang tadi di Krematorium DBKL di sini.
Terdahulu, media melaporkan pasangan suami isteri maut selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta dipercayai dipandu dalam keadaan mabuk dalam kejadian di Jalan Ampang berhampiran Menara Great Eastern di sini, pagi semalam.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5.34 pagi melibatkan sebuah motosikal dan sebuah kereta.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati sebuah kereta jenis Toyota Vios yang dipandu lelaki tempatan berusia 24 tahun dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang motosikal jenis Honda Wave Alpha ditunggang pasangan suami isteri terbabit.
“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal iaitu lelaki tempatan berusia 61 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Pembonceng yang juga isterinya berusia 56 tahun turut mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, pemandu kereta terbabit mengalami kecederaan di bahagian kepala dan kini masih menerima rawatan di Zon Merah Hospital Kuala Lumpur.
“Penumpang hadapan kenderaan tersebut iaitu lelaki tempatan berusia 23 tahun turut mengalami kecederaan di bahagian kepala dan masih dirawat di zon sama.
“Seorang lagi penumpang belakang berusia 24 tahun hanya mengalami kecederaan luka di bahagian bibir dan lidah serta telah dibenarkan pulang sebelum tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan pada hari kejadian,” katanya.
Menurut beliau, siasatan turut mendapati kesemua individu yang berada di dalam kereta berkenaan adalah rakan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – MalaysiaGazette
















