Mohideen.

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan menyiasat gangguan berulang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang menjejaskan sistem aerotrain dan pengendalian bagasi.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, insiden itu menimbulkan kebimbangan terhadap keberkesanan penyelenggaraan dan pengurusan aset, namun tidak wajar disandarkan kepada faktor penyelenggaraan pencegahan semata-mata.

Katanya, KLIA memerlukan pendekatan penyelenggaraan lebih sistematik memandang ia telah beroperasi sejak 1998 kini dengan mengendalikan kira-kira 60 hingga 65 juta penumpang setahun.

“Gangguan ini menimbulkan kebimbangan yang sah mengenai keberkesanan amalan penyelenggaraan dan pengurusan aset, namun terlalu mudah untuk mengaitkannya semata-mata kepada kekurangan penyelenggaraan pencegahan.

“Sebagai pengendali, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) bertanggungjawab terhadap penyelenggaraan rutin, perancangan aset jangka panjang, peningkatan sistem tepat pada masanya serta pengawasan kontraktor.

“Corak isu berulang ini menunjukkan jurang bukan sahaja dalam penyelenggaraan, tetapi juga dalam keseluruhan perancangan, penyelarasan dan pelaksanaan,” katanya kepada pemberita di sini.

Menurutnya, antara insiden dilaporkan termasuk gangguan kuasa pada April lalu yang menjejaskan sistem bagasi di Terminal 1 KLIA, selain masalah kebocoran bumbung, gangguan bekalan elektrik dan kemudahan yang semakin merosot.

Beliau berkata, gangguan sistem bulan lalu turut menjejaskan sistem imigresen termasuk Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) dan QR MyBorderPass menyebabkan pemprosesan manual dan kelewatan di pintu masuk utama.

“Kebocoran air pada November tahun lalu berhampiran kaunter daftar masuk pula menunjukkan kemungkinan kelemahan dalam prosedur kontraktor, khususnya dalam kerja di kawasan kritikal.

“Justeru kerajaan perlu meneliti secara menyeluruh kelemahan dalam sistem melibatkan KLIA yang dikendalikan MAHB, termasuk aspek perolehan, prestasi vendor serta perancangan pembaharuan aset.

“Tanpa tindakan tepat pada masanya dan tegas, kegagalan berulang akan terus menjejaskan keyakinan penumpang serta kebolehpercayaan operasi penerbangan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast