KUALA LUMPUR – Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) mengorak langkah dalam mmelahirkan lebih ramai tenaga profesional negara menerusi pelancaran Executive Management Programme (EMP).
Pelancaran program tersebut disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sempena sambutan ulang tahun ke-60 Majlis Amanah Rakyat (MARA) di World Trade Centre (WTC) Kuala Lumpur.
Menerusi satu kenyataan, inisiatif strategik itu merupakan usaha universiti berkenaan dalam memperkasa pembangunan kepimpinan serta bakat yang selaras dengan keperluan industri dan perubahan landskap ekonomi global yang dinamik.
“EMP merupakan cetusan idea Ahmad Zahid dilihat sebagai langkah merapatkan jurang antara dunia akademik dan industri, selain memastikan tenaga kerja tempatan kekal kompetitif bagi menghadapi cabaran ekonomi masa depan.
“Program ini diperkenalkan menerusi dua komponen utama iaitu EMP Protege dan EMP Professional mengikut tahap pengalaman peserta,” menurut kenyataan itu.
EMP Protege memberi fokus kepada graduan baharu dan pemegang ijazah sarjana muda di mana program selama 12 minggu memberi penekanan kepada kemahiran praktikal, komunikasi berkesan dan pemikiran strategik melalui pembelajaran berasaskan pengalaman.
EMP Professional pula telah direka khas untuk golongan profesional yang ingin memperkukuh keupayaan kepimpinan dalam tempoh singkat menerusi sesi hibrid selama empat hari.
“Modul-modul ini merangkumi bidang utama seperti kepimpinan strategik, tadbir urus, pengurusan sumber manusia, kewangan, inovasi digital dan kecerdasan buatan (AI) serta etika.
“Sasaran penyertaan melibatkan golongan profesional daripada sektor awam, swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta syarikat multinasional (MNC).
“Bagi memastikan keberkesanannya, UPTM turut menjalinkan kerjasama strategik dengan pelbagai rakan industri antaranya MBSB, WTC Kuala Lumpur, East Coast Rail Link (ECRL), DELL, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Open Learning,” menurut kenyataan yang sama.
Selain EMP, UPTM juga memperkukuh penawaran akademik melalui program Ijazah dan Sarjana yang diintegrasikan dengan pensijilan profesional antarabangsa seperti ACCA, CMI, SAS dan Google bagi meningkatkan lagi kebolehpasaran graduan.
Inisiatif ini sekali gus menyokong misi MARA untuk menjadikan UPTM sebagai hab akademik dan pembangunan bakat yang memenuhi keperluan industri negara. – MalaysiaGazette
















