KAJANG – Pemberian elaun Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (SISPA) untuk pelajar tahun akhir telah diluluskan Kementerian Kewangan (MOF).
Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Mohammad Abiddin Abd Rahman berkata, mekanisme pelaksanaannya sedang dimuktamadkan.
“Elaun sukarelawan ini dibayar mengikut jam latihan, sekitar RM8 sejam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Pertahanan Awam Ke-74 (HUTPA 74) di Ibu Pejabat APM di sini hari ini.
Beliau berkata, setakat ini Kor SISPA melibatkan 20 institusi pengajian tinggi awam (IPTA), 24 institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dan 14 Institut Pendidikan Guru (IPG).
Pada majlis yang sama turut menyaksikan 283 warga APM menerima anugerah dan pengiktirafan atas kecemerlangan serta dedikasi mereka dalam perkhidmatan. – MalaysiaGazette
















