MAKKAH – Tiada pelajar Malaysia di Makkah, Jeddah dan Taif terlibat dalam penipuan pelaksanaan badal haji, umrah, qurban, akikah dan agihan makanan (sabil) yang dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Yang Dipertua Persatuan Pelajar Malaysia Mekah 2025/26, Muhammad Iqbal Nursalam berkata, berdasarkan maklumat diperoleh, terdapat pihak yang mendakwa mereka menggunakan khidmat penduduk tempatan atau petugas haji yang diberikan pas petugas untuk melaksanakan badal haji di Arafah.
Hakikatnya, kata beliau, peraturan terkini menetapkan petugas haji tidak dibenarkan mengenakan kain ihram semasa bertugas.
Malah, mereka tidak dibenarkan memasuki Masjidil Haram dalam keadaan berihram.
“Sekiranya didapati melanggar peraturan ini, mereka boleh dikenakan tindakan seperti denda atau dihantar pulang oleh pihak berkuasa Arab Saudi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhammad Iqbal berkata, kos minimum permit haji bagi penduduk Makkah dan sekitar bermula SAR9,000 (tidak termasuk kos sara hidup pelaksana).
Manakala kos sembelihan qurban dan aqiqah melalui tempat sembelihan rasmi Kerajaan Arab Saudi SAR720.
Jelasnya, melaksanakan sembelihan qurban, aqiqah atau agihan makanan tanpa permit yang sah merupakan satu kesalahan undang-undang yang boleh dikenakan denda dan penjara.
Oleh itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya menyerahkan amanah untuk melaksanakan badal haji, umrah, qurban, aqiqah dan sabil kepada agensi pelancongan yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dan tidak mempunyai rekod buruk.
Orang ramai juga boleh menyalurkan amanah melalui platform yang diiktiraf oleh Kerajaan Arab Saudi seperti Tawkeel, Adahi dan badan bukan kerajaan yang berdaftar secara rasmi.
Muhammad Iqbal sekali lagi mengingatkan bahawa kos sebenar ibadah haji adalah tinggi.
“Bayaran murah untuk badal haji boleh menyebabkan pelaksana menggunakan satu nama untuk menggantikan beberapa individu, sekali gus menjejaskan kesahihan ibadah tersebut,” katanya.
Dalam masa sama, Kerajaan Arab Saudi secara berterusan memperbaharui undang-undang demi kemaslahatan umat Islam sejagat.
“Kami berharap kenyataan ini dapat memberi penjelasan kepada masyarakat agar lebih berhati-hati serta tidak mudah terpedaya dengan tawaran yang tidak munasabah seterusnya menjaga kesucian ibadah yang dilaksanakan,” ujar beliau. – MalaysiaGazette















