KUALA LUMPUR – DAP Selangor didesak untuk berhenti daripada memainkan naratif politik mangsa dalam isu ladang babi dan mula memahami realiti kerosakan politik yang sedang berlaku terhadap Pakatan Harapan (PH).
Menurut Jawatankuasa Pimpinan Nasional Parti Amanah Negara (Amanah), Wan Anwar Wan Ibrahim, tindakan dan kenyataan beberapa pimpinan DAP Selangor dalam isu ladang babi kini semakin menghakis sokongan orang Melayu terhadap gabungan itu, khususnya di Selangor.
“Titah Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung isu ladang babi perlu dipandang serius dan dihormati dengan penuh tanggungjawab oleh semua pihak.
“Ini bukan lagi isu persepsi politik semata-mata, tetapi isu yang telah menyentuh sensitiviti rakyat, keharmonian sosial dan kredibiliti pentadbiran kerajaan negeri,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Semalam, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kekal dengan pendirian tidak berkenan sebarang aktiviti penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di negeri ini seperti yang telah ditegaskan sebelum ini.
Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, pendirian baginda itu dibuat selepas mengambil kira pelbagai implikasi termasuk risiko pencemaran terhadap tanah, udara serta sumber air melalui pelepasan najis dan sisa kumbahan babi.
Menurut Wan Anwar lagi, tindakan serta kenyataan beberapa pimpinan DAP Selangor pula memperlihatkan sikap defensif dan seolah-olah cuba meletakkan diri sebagai mangsa politik sedangkan realitinya isu tersebut telah memberi kesan besar terhadap parti-parti lain dalam PH termasuk parti Amanah dan PKR.
“DAP Selangor perlu sedar bahawa setiap kenyataan yang dilihat keras, angkuh dan tidak sensitif hanya akan mempercepatkan lagi hakisan sokongan Melayu terhadap PH.
Politik hari ini bukan lagi tentang siapa paling lantang mempertahankan kelompok sendiri, tetapi siapa paling bijak membaca emosi rakyat dan menjaga keseimbangan dalam kerajaan gabungan,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut menegaskan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki tidak boleh melepaskan diri daripada tanggungjawab politik terhadap kekecohan yang berlaku kerana beliau dilihat antara suara utama yang menongkah arus terhadap titah Sultan Selangor.
“Sebagai antara suara utama dalam isu ini dan menongkah arus terhadap Titah Tuanku sendiri, beliau perlu bertanggungjawab penuh terhadap naratif dan ketegangan yang semakin melebar sehingga memberi kesan negatif kepada keseluruhan imej PH di Selangor,” katanya.
Beliau berkata, orang Melayu ketika ini sedang memerhati bagaimana isu tersebut diurus termasuk sejauh mana sensitiviti mereka dijawab serta bagaimana parti-parti dalam kerajaan menunjukkan rasa hormat terhadap institusi diraja dan keresahan masyarakat majoriti.
“Jika DAP Selangor terus gagal memahami realiti ini dan masih memilih untuk bermain politik persepsi serta mempertahankan pendekatan yang konfrontasional maka jangan terkejut jika sokongan Melayu terhadap PH terus merosot menjelang pilihan raya akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette
















