Albert Tei bersama beberapa orang pengikutnya ketika melakukan protes di Kementerian Komunikasi di Putrajaya, hari ini.

PUTRAJAYA – Ahli perniagaan, Albert Tei  mencabar Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil supaya mendakwanya di mahkamah sekiranya beliau benar-benar melakukan kesalahan susulan tindakan menyekat akaun TikTok miliknya semalam.

Albert turut mahu mendapatkan penjelasan daripada Fahmi berhubung tindakan sekatan terhadap akaun media sosial tersebut yang didakwa berlaku tanpa sebarang penerangan jelas.

Menurutnya, akaun TikTok itu amat penting kerana telah berjaya mengumpulkan lebih 72,000 pengikut dan menjadi medium utama beliau berkongsi pandangan serta berinteraksi dengan orang ramai.

“Kalau benar saya melakukan kesalahan, dakwalah saya di mahkamah. Jangan sekat akaun tanpa penjelasan,” katanya ketika melakukan protes di Kementerian Komunikasi di sini hari ini.

Beliau mendakwa, tindakan menyekat akaun media sosial tanpa penjelasan boleh menimbulkan persoalan mengenai kebebasan bersuara dan hak pengguna platform digital di negara ini.

Albert Tei turut berharap pihak Kementerian Komunikasi dapat memberi penjelasan terbuka berhubung tindakan yang diambil terhadap akaun miliknya bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pengikut dan masyarakat umum.

Terdahulu, ahli perniagaan kontroversi itu hadir ke Kementerian berkenaan bersama kira-kira 10 pengikutnya.

Albert dilihat membawa beberapa sepanduk dan plakad ketika hadir di pekarangan kementerian berkenaan.

Beliau mendakwa, sanggup ‘bermalam’ di hadapan kementerian itu selagi Fahmi tidak bersetuju bertemu dengannya berhubung dakwaan akaun TikTok miliknya disekat.

Kira-kira pukul 4.15 petang, Albert yang kini berdepan dua pertuduhan berkaitan skandal rasuah Sabah mendakwa, dia bersama kumpulannya sudah menunggu hampir dua jam di lokasi berkenaan.

Menurutnya, mereka akan terus berada di situ sehingga Fahmi tampil memberikan penjelasan terhadap isu sekatan akaun media sosial miliknya.

“Jika menteri tidak datang, saya akan terus berada di sini sampai dia datang. Saya akan tidur di sini,” katanya.

Walaupun mendakwa akaun TikTok miliknya disekat, protes duduk bantah itu tetap disiarkan secara langsung menerusi satu lagi akaun miliknya.

Dalam siaran tersebut, Albert Tei turut mengejek Fahmi dengan mendakwa menteri itu ‘terlalu takut’ untuk berjumpa dengannya.

Rakaman siaran langsung itu turut memaparkan beliau bersama beberapa penyokong duduk bersila di lantai sambil bersembang dan menyanyikan lagu yang direka khas ditujukan kepada Fahmi.

Pada Selasa lalu, Albert membuat laporan polis berhubung video tular memaparkan seorang wanita dikenali sebagai Sofia Rini yang mengandungi pelbagai dakwaan serius melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, dalam video berkenaan, Sofia Rini didakwa menyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan seorang ahli perniagaan, Datuk Seri Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak untuk membawa keluar sejumlah wang ke luar negara termasuk ke Afrika dan Turki.

Albert turut mendakwa individu sama kononnya memiliki kewarganegaraan Turki yang menurutnya bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan kerana rakyat Malaysia tidak dibenarkan memiliki dua kewarganegaraan.

Selain itu, beliau berkata, video tersebut turut menyentuh dakwaan mengenai pemilikan harta bernilai berbilion ringgit melibatkan Perdana Menteri dan individu terbabit. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast