GEORGE TOWN – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Pulau Pinang mempersoalkan tindakan kerajaan negeri berhubung projek pembangunan semula Tapak Pelupusan Jelutong selepas laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) bagi projek itu ditolak sebanyak lima kali.
Pengerusinya, Oh Tong Keong berkata, kerajaan negeri sepatutnya membuat penilaian semula secara menyeluruh terhadap kebolehlaksanaan dan risiko projek berkenaan, bukannya terus memberi lanjutan tempoh serta mengemukakan permohonan berulang kali.
Menurutnya, kegagalan memperoleh kelulusan EIA sebanyak lima kali bukan lagi isu teknikal biasa, sebaliknya menunjukkan kemungkinan wujud masalah asas membabitkan aspek alam sekitar, keselamatan dan perancangan projek itu sendiri.
“Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, sekiranya sesuatu projek gagal mendapat kelulusan EIA sebanyak lima kali, kerajaan sepatutnya membuat penilaian semula secara menyeluruh terhadap kebolehlaksanaan serta risiko projek tersebut.
“Lima kali gagal bukan lagi isu teknikal biasa, tetapi menunjukkan kemungkinan wujud masalah asas melibatkan aspek alam sekitar, keselamatan dan perancangan projek itu sendiri,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, tindakan kerajaan negeri ketika ini turut menimbulkan persepsi bahawa projek tersebut ‘mesti diluluskan walau apa cara sekalipun’ sehingga rakyat mempersoalkan sama ada proses penilaian telah berubah menjadi ‘ubah suai sampai lulus’.
Katanya, Gerakan tidak menentang pembangunan, namun menolak pembangunan berisiko tinggi yang boleh menjejaskan keselamatan rakyat dan kelestarian alam sekitar.
“Tapak Pelupusan Jelutong bukan kawasan biasa kerana melibatkan isu kestabilan tanah, gas metana, pencemaran alam sekitar serta keselamatan awam susulan timbunan sisa buangan yang lama berada di kawasan itu.
“Oleh sebab itu, sebarang projek pembangunan di kawasan tersebut mesti melalui penelitian dan piawaian paling ketat.
“Selain itu, wujud juga persoalan mengapa projek yang masih mempunyai pelbagai persoalan berkaitan alam sekitar terus dipanjangkan tempohnya untuk diteruskan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang menilai semula keseluruhan hala tuju pembangunan Tapak Pelupusan Jelutong serta tampil menjelaskan kepada rakyat mengenai risiko alam sekitar dan perancangan masa depan projek berkenaan secara telus.
Media semalam melaporkan tiada keputusan muktamad dicapai berhubung cadangan projek penambakan tanah berhampiran tapak pelupusan sampah Jelutong sehingga satu pembentangan terperinci dibuat oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) kepada pihak kerajaan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, H’ng Mooi Lye berkata, bagi tujuan itu, pihak pemaju PLB Engineering Berhad dijangka mengemukakan kertas kerja untuk memohon lanjutan masa (EOT) kepada PDC sebelum ia dibawa untuk pertimbangan lanjut dalam mesyuarat Exco negeri pada 20 Mei ini. – MalaysiaGazette















