Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Barang kemas dan jam tangan bernilai kira-kira RM800,000 dilaporkan hilang selepas sebuah rumah di Taman Melawati, Ampang dipecah masuk malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, pemilik rumah menyedari kejadian itu selepas tiba di kediamannya kira-kira jam 11.30 malam sebelum mendapati ruang tamu dan beberapa bilik dalam keadaan berselerak.

Menurut beliau, pemeriksaan lanjut mendapati pintu belakang rumah mempunyai kesan umpilan dipercayai digunakan suspek untuk memecah masuk kediaman berkenaan.

“Hasil pemeriksaan di lokasi mendapati suspek dipercayai masuk melalui pintu belakang dengan cara mengumpil gril dan pintu rumah sebelum menggeledah beberapa bahagian dalam kediaman terbabit.

“Beberapa barang kemas serta jam tangan dipercayai hilang dalam kejadian itu dengan keseluruhan kerugian dianggarkan RM800,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan di sekitar lokasi kejadian turut menemui tiga kesan cap jari bagi membantu siasatan.

Katanya, polis kini giat mengesan suspek dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya memastikan rumah sentiasa berkunci dan meningkatkan ciri keselamatan bagi mengelakkan kejadian pecah rumah. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast