Anggota Semut Hitam membuat rondaan di dataran Masjidil Haram, Makkah.

MAKKAH – Di sebalik lautan manusia di Masjidil Haram, terselit sekumpulan petugas berpakaian hitam berjalur hijau yang sedang memerhatikan pergerakan jemaah haji Malaysia.

Mereka ini digelar ‘Semut Hitam’.

Ketua Unit Rondaan ‘Semut Hitam’, Ahmad Fauzee Mohd Salleh berkata, pasukan itu berperanan memastikan jemaah haji Malaysia yang datang ke Masjidil Haram dapat memasuki pintu yang betul dan kembali semula ke maktab masing-masing dengan selamat.

Beliau berkata, pasukan di bawah Pejabat Khidmat Pelanggan itu menjalankan rondaan selama 24 jam dengan setiap syif melibatkan tujuh petugas yang bergerak di sekitar laluan utama jemaah di Masjidil Haram.

“Ramai jemaah pertama kali datang ke sini tidak tahu arah tujuan terutama apabila terpisah dengan kumpulan, pasangan dan rakan masing-masing. Kalau nampak jemaah berjalan bersendirian, gelisah atau duduk termenung di tepi jalan, kami akan hampiri dan bantu mereka.

“Di sinilah peranan kami untuk memastikan mereka tidak tersasar atau pergi ke tempat yang tidak sepatutnya,” katanya ketika ditemui di sini.

Anggota Semut Hitam yang berada di check point di Masjidil Haram, Makkah.

Jelas beliau, selalunya jemaah tersasar kerana mengikut kumpulan lain kerana bergantung kepada warna beg sandang berwarna merah sedangkan semua jemaah haji diberikan beg yang sama.

“Contohnya jemaah dari Zon A akan ikut jemaah Zon B, begitu juga berlaku jemaah Zon B ikut jemaah Zon A sebab semua beg berwarna merah,” katanya.

Sebenarnya, kata Ahmad Fauzee, ‘Semut Hitam’ dapat mengenal pasti jemaah yang tersasar berdasarkan warna lanyard yang dipakai kerana setiap maktab berbeza warna lanyard, sekali gus menentukan pergerakan jemaah masing-masing untuk ke maktab.

Perbezaan warna lanyard itu juga menentukan sama ada jemaah itu dari maktab Zon A atau Zon B kerana kedua-duanya akan melalui laluan keluar dan masuk yang berbeza.

Sebab itu, katanya, pasukannya ditempatkan di dua check point iaitu di Zon A di laluan Marwah dan Zon B di laluan ke Hafaer.

Ahmad Fauzee Mohd Salleh (tengah) menunjukkan kawasan kawalan Semut Hitam di Masjidil Haram, Makkah.

Katanya, lanyard biru untuk Maktab 63, hijau Maktab 64 di Al Tayseer; Maktab 65 warna merah, Maktab 66 (kuning), Maktab 67 (ungu) dan warna jingga bagi Maktab 68 di Rehab Al Janadriyah.

Menurutnya lagi, pasukan rondaan ditempatkan di enam pos kawalan utama termasuk di Marwah, Babus Salam, Ajyad, Misfalah dan Hafaer bagi membantu jemaah.

Selain itu, katanya, pasukan rondaan turut bertindak sebagai pasukan bantuan awal sekiranya berlaku kecemasan seperti jemaah pengsan, sesak nafas, sakit atau kemalangan.

Katanya, setiap anggota telah dilatih melakukan bantuan kecemasan asas termasuk bantuan pernafasan, sebelum pesakit dibawa mendapatkan rawatan lanjut di hospital atau pusat perubatan Tabung Haji.

Fauzi berkata, pasukan itu terdiri daripada anggota Polis Bantuan Tabung Haji yang sememangnya terlatih sebagai petugas barisan hadapan dalam pengurusan jemaah.

Anggota Semut Hitam menyantuni jemaah haji Malaysia di sekitar kawasan Masjidil Haram, Makkah.

Mengimbas pengalaman paling menyentuh hati sepanjang bertugas pada musim haji ini, beliau mengakui masih terkesan dengan insiden membantu seorang jemaah yang meninggal dunia di Masjidil Haram ketika suasana terlalu sesak pada solat Jumaat.

“Kami tak sempat sampai awal sebab terlalu sesak, tetapi selepas solat selesai kami terus pergi dan membantu menguruskan jenazah sementara menunggu pihak berkaitan tiba,” ujarnya.

Ahmad Fauzee berkata, meskipun suasana mencabar kerana anggota perlu berjalan di tengah-tengah cuaca panas 41 darjah Celcius, namun tugas tersebut digalas dengan penuh tanggungjawab.

“Kami anggap semua jemaah seperti ibu bapa dan keluarga sendiri. Itu yang buat kami terus bersemangat membantu walaupun penat,” katanya yang komited untuk memberikan khidmat terbaik demi memastikan kebajikan dan keselamatan jemaah haji Malaysia sentiasa terpelihara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast