ISKANDAR PUTERI – Empat buah rumah terbakar selepas dibaling bom petrol dipercayai angkara along dari Singapura dalam kejadian di Jalan Indah 12/12, Bukit Indah di sini kelmarin.
Kejadian tersebut mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perling, Liew Chin Tong yang melawat kawasan rumah berkenaan semalam.
Beliau mendakwa, kejadian tersebut merupakan kali kedua dan pertama kali dilakukan sehari sebelum itu.
“Dalang di sebalik jenayah ini dipercayai sindiket ahlong Singapura. Sasaran bom petrol ini dipercayai ditujukan kepada sebuah rumah tetapi api telah merebak kepada tiga rumah jiran,” katanya selepas melakukan lawatan ke rumah mangsa.
Chin Tong berterima kasih kepada Ketua Polis Balai Bukit Indah, Inspektor J M Alvin Sudesshen yang bertindak pantas menjalankan siasatan sebaik sahaja menerima laporan.
Menurutnya, pihak polis juga meningkatkan kekerapan rondaan di kawasan terbabit.
Dalam masa sama, beliau menyokong inisiatif penduduk setempat untuk mewujudkan kemudahan keselamatan di samping menyalurkan peruntukan kebajikan terhadap rumah yang terjejas.
“Ketua Pejabat ADUN Perling, Kartiyaini Jeyapalan akan mengambil tindakan susulan dengan para penduduk dan pihak berkuasa,” tambahnya.- MalaysiaGazette
















