KUALA LUMPUR – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berharap agar tafsiran kategori T20 perlu dibuat secara berhati-hati berikutan kebiasaannya ia tidak menggambarkan realiti tanggungan sebenar sesebuah isi rumah.
Ini kerana kata beliau, realiti mereka yang dikategorikan T20 yang berpendapatan isi rumah RM13,000 yang tinggal di bandar seperti Kuala Lumpur boleh jatuh ke M40 malah B40.
“Hati-hati menafsir kategori T20 atau M40. Pendapatan isi rumah RM13,000 tinggal di bandar seperti KL, anak 5 orang masih bersekolah dan universiti boleh jatuh ke M40, bahkan B40. MARA ambil kira semua ini sebelum luluskan pembiayaan,” tulis di Facebook miliknya hari ini.
Berdasarkan Tinjauan Pendapatan Isi Rumah 2024 dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) nilai ambang bagi T20 nasional adalah RM12,680.
Namun, bagi Selangor dan Kuala Lumpur, nilai ambang berbeza ditetapkan iaitu masing-masing RM16,040 dan RM17,030.
Baru-baru ini, kerajaan dilapor mencadangkan untuk menyemak semula pemberian subsidi petrol RON95 kepada golongan kaya, yang banyak dikaitkan kepada mereka berada dalam kelompok T20.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan cadangan itu sedang diteliti Pasukan Petugas Pengurusan Krisis (PPPK) di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dipengerusikan Tan Sri Mohd Hassan Marican sejak sebulan lalu. – MalaysiaGazette
















