Ahmad Fauwaz Fadzil dan Dr Zulkifli Hasan.

KUALA LUMPUR – Semua pihak diingatkan supaya menjaga adab, percakapan dan penulisan ketika menyentuh mengenai para sahabat Rasulullah SAW bagi mengelakkan timbulnya fitnah serta kegelisahan dalam kalangan umat Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan berkata, para sahabat Rasulullah SAW bukan tempat untuk dijadikan bahan penghinaan atau kerendahan.

Menurut beliau, umat Islam perlu mempunyai kecermatan dalam penceritaan berkaitan para sahabat kerana perkara itu merupakan isu yang disepakati kedudukannya dalam agama.

“Kita sentiasa berhusnuzan dengan setiap Muslim, kemungkinan dia tidak berniat sedemikian. Namun ucapan yang boleh menimbulkan fitnah dan kebimbangan wajib diperbetulkan.

“Pihak kami sentiasa inginkan kebaikan kepada semua umat Islam. Jagalah adab dan bahasa ketika berbicara,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Beliau turut menyeru umat Islam agar terus menyebarkan kebaikan dan memelihara perpaduan sesama masyarakat Islam.

Sementara itu, Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil turut mengingatkan masyarakat supaya menghormati dan menyayangi para sahabat Rasulullah SAW serta menjauhi sebarang bentuk fitnah terhadap mereka.

Beliau menegaskan, umat Islam perlu memelihara lidah dan penulisan daripada mencemarkan kemuliaan para sahabat nabi.

Katanya, Nabi Muhammad SAW sendiri melarang umatnya mencela para sahabat sebagaimana hadis diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim.

“Jangan kalian mencela para sahabatku. Jika salah seorang daripada kalian menginfakkan emas sebesar Bukit Uhud, ia tidak akan menyamai segantang infak yang dilakukan oleh para sahabat, bahkan tidak sampai separuh pun,” kongsinya di laman sosial.

Beliau turut menyeru masyarakat agar menyebarkan kebaikan dan bukannya kebencian.

Isu berkaitan penghormatan terhadap para sahabat Nabi itu timbul susulan kontroversi melibatkan Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh yang dilaporkan memetik kisah para sahabat Nabi dalam satu ceramah baru-baru ini.

Kenyataan tersebut kemudian mencetuskan pelbagai reaksi dalam media sosial sehingga beberapa pihak tampil mengingatkan kepentingan menjaga sensitiviti agama serta adab dalam membicarakan tokoh-tokoh utama Islam. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast