Pasangan kekasih remaja diberkas selepas menjerut leher seorang pemandu e-hailing sebelum melarikan kereta milik mangsa dalam kejadian di Taman Negara Tanjung Piai, Pontian, Ahad lalu.

PONTIAN – Polis menahan pasangan kekasih remaja selepas menjerut leher seorang pemandu e-hailing sebelum melarikan kereta milik mangsa dalam kejadian di Taman Negara Tanjung Piai, di sini Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Hadzrat Hussien Mion Hussain berkata, remaja lelaki berusia 18 tahun dan remaja perempuan berusia 17 tahun itu diberkas di kawasan Pangsapuri Rakyat Sungai Putat, Batu Berendam, Melaka, semalam.

“Pihak polis bertindak selepas menerima satu laporan berkaitan kejadian samun dengan mendatangkan kecederaan pada pukul 8.51 pagi, Ahad lalu.

“Hasil maklumat risikan awam, serbuan dijalankan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah dan pasukan Task Force Lejang Ketua Polis Daerah Pontian di kawasan pangsapuri rakyat tersebut antara pukul 7 pagi hingga 2 petang semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil operasi berkenaan, pasukan serbuan berjaya menahan pasangan remaja tempatan tersebut yang disyaki terlibat dengan kes itu.

Jelasnya, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mengaku melakukan samun dengan cara menjerut leher pemandu e-hailing menggunakan tali sling dan menarik mangsa keluar sebelum melarikan kereta Proton Saga tersebut ke Johor Bahru.

Katanya, selepas melarikan kereta mangsa, kedua-dua remaja itu dipercayai telah meninggalkan kenderaan tersebut di kawasan restoran makanan segera di Stulang Laut, Johor Bahru.

“Pemeriksaan lanjut mendapati suspek lelaki yang tidak bekerja mempunyai tujuh rekod lampau berkaitan jenayah dan narkotik, selain ujian air kencing menunjukkan dia positif dadah jenis methamphetamine,” ujarnya.

Suspek perempuan pula katanya, tidak bersekolah dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan negatif ujian dadah.

Dalam serbuan tersebut katanya, polis berjaya merampas semula kereta Proton Saga milik mangsa, sebilah pisau boleh laras, tali sling yang digunakan untuk menjerut mangsa, telefon bimbit serta pelbagai barangan peribadi milik mangsa.

“Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM30,000,” katanya.

Tambah beliau, mangsa yang mengalami kecederaan kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan susulan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.

Tambahnya, kecederaan dialami mangsa ialah pendarahan dalaman di kepala, calar di bahagian belakang badan, gegendang telinga kanan bocor dan luka koyak pada kulit lutut kanan.

Kedua-dua suspek kini ditahan reman semalam tujuh hari bermula hari ini sehingga 18 Mei depan bagi siasatan lanjut, katanya.

Kes disiasat bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan bagi kesalahan samun sehingga mendatangkan kecederaan dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan bagi kes kecurian kenderaan motor.

Selain itu katanya, suspek lelaki turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Hadzrat Hussien berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terlibat dalam jenayah kekerasan dan akan mengambil tindakan tegas selaras dengan undang-undang.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast