Mata pencarian penternak kerang dan nelayan yang terlibat akan terus merosot sekiranya isu pencemaran ini tidak diselesaikan.

BUKIT MERTAJAM – Kira-kira 100 penternak kerang dan nelayan di Kampung Kuala Juru di sini, mendakwa pendapatan mereka terjejas lebih 50 peratus akibat pencemaran Sungai Juru.

Ketua Nelayan Kuala Juru, Wahid Othman mendakwa, masalah pencemaran itu semakin serius sejak setahun lalu susulan pintu sisa buangan kilang di Sungai Derhaka yang menghubungi Sungai Juru dibuka semula selepas sekian lama ditutup.

Menurutnya, pembuangan sisa kimia ke dalam Sungai Juru dipercayai kerap berlaku pada waktu pagi sehingga menyebabkan air sungai bertukar kehitaman dan berbau.

“Selain banyak kerang yang mati, bangkai ikan juga pernah ditemui terapung di permukaan air oleh nelayan di sini.

“Saya bimbang jika keadaan ini berterusan, mata pencarian penternak kerang dan nelayan yang terlibat akan terus merosot sekali gus menjejaskan kehidupan keluarga,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, tinjauan yang dijalankan pihaknya mendapati air Sungai Juru sentiasa keruh dan dipercayai tercemar melalui pintu saliran sisa kilang serta saluran paip buangan sisa kolam ternakan udang yang terletak berhampiran sungai itu.

Katanya, keadaan itu dipercayai berpunca daripada pembuangan sisa kilang dan sisa kolam ternakan udang ke sungai berkenaan sehingga menyebabkan kematian kerang ternakan serta ikan di kawasan terbabit.

“Kita memandang serius masalah berkenaan dan bersimpati terhadap nelayan serta penternak kerang yang terkesan.

“Penutupan segera saliran yang tercemar dengan sisa buangan di sepanjang Sungai Juru perlu dilakukan bagi mengelakkan sungai itu terus tercemar.

“Kesan pencemaran ini bukan sahaja mengancam alam sekitar dan sumber pendapatan nelayan di sini tetapi turut menjejaskan bekalan makanan untuk rakyat,” katanya.

Justeru, CAP menggesa kerajaan Pulau Pinang, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Perikanan serta pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan segera bagi mengatasi pencemaran Sungai Juru.

“Kita juga meminta kerajaan membantu penternak kerang dan nelayan yang terlibat dengan memberi bantuan bagi meneruskan aktiviti yang sudah lama diceburi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast