Guru, Yogeswary A/P Chennimalai, 54 menerima saguhati dari pelajarnya Pelajar Tahun Enam, Mior Muhammad Ikram sempena Sambutan Hari Guru di Sekolah Taman Alam Megah, Shah Alam, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL 15 MEI 2024. (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Selangor memohon Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mempertimbangkan semula pelaksanaan Sambutan Hari Guru di peringkat sekolah secara sederhana dan terkawal.

Ini khususnya sekiranya ia dilaksanakan menggunakan peruntukan dalaman sekolah tanpa melibatkan pembaziran atau perbelanjaan berlebihan.

Setiausaha ABIM Selangor, Muhammad Taufiq Hidayah Mohamad Kuturi berkata, Hari Guru bukan sekadar acara tahunan, tetapi merupakan lambang penghormatan kepada insan pendidik yang telah mencurahkan ilmu, membina sahsiah dan membentuk masa depan generasi bangsa.

Setiausaha ABIM Selangor, Muhammad Taufiq Hidayah Mohamad Kuturi.

Sehubungan itu, ujarnya, pengiktirafan terhadap jasa guru amat penting dalam menyuntik motivasi serta memperkukuhkan semangat para pendidik untuk terus melaksanakan amanah dengan dedikasi.

“ABIM Selangor berpandangan bahawa sambutan yang bersifat sederhana seperti majlis ringkas, ucapan penghargaan, bacaan doa, penyampaian kad penghormatan atau aktiviti melibatkan murid dan komuniti sekolah masih boleh diteruskan tanpa menjejaskan agenda penjimatan yang sedang dilaksanakan oleh pihak kerajaan dan JAIS,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, dalam masa yang sama, ABIM Selangor bersetuju bahawa budaya pemberian hadiah secara berlebihan sehingga membebankan ibu bapa dan penjaga tidak seharusnya menjadi amalan.

Jelasnya, sambutan Hari Guru perlu diraikan dalam semangat kesederhanaan, keikhlasan dan penghormatan yang tulus terhadap pengorbanan para guru.

“ABIM Selangor berharap agar pendekatan yang lebih seimbang dapat dipertimbangkan demi memastikan budaya menghargai guru terus subur dalam institusi pendidikan, selari dengan nilai adab, ihsan dan penghormatan terhadap golongan pendidik,” katanya.

Terdahulu, Muhammad Taufiq Hidayah berkata, ABIM Selangor menghormati pendirian JAIS serta memahami keperluan untuk mengamalkan perbelanjaan berhemah dalam suasana ekonomi dan ketidaktentuan geopolitik semasa.

Jelasnya, langkah mengutamakan pengurusan kewangan yang lebih terkawal merupakan pendekatan yang wajar demi memastikan sumber sedia ada dimanfaatkan secara optimum.

Sebelum ini, tular satu surat edaran JAIS kepada Pegawai Tadbir Agama Daerah seluruh Selangor bertarikh 7 Mei yang menetapkan semua sekolah di bawah pentadbiran JAIS tidak dibenarkan mengadakan sambutan hari guru di peringkat sekolah dan daerah.

Surat edaran itu menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat termasuk guru dan ibu bapa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast