Dr. Sathia Prakash Nadarajan

KUALA LUMPUR – SP Care Group akan menyediakan perkhidmatan medik dan ambulans kepada peserta Himpunan Daulat Tuanku yang dijadual Sabtu ini sebagai langkah persediaan keselamatan dan sokongan kecemasan sepanjang perhimpunan berlangsung.

Pengerusinya, Dr Sathia Prakash Nadarajan berkata, himpunan itu perlu dilihat dalam kerangka demokrasi matang yang menghormati hak rakyat untuk berhimpun dan menyatakan pandangan secara aman, tertib serta mematuhi undang-undang negara.

Menurut Dr Sathia, hak bersuara yang dijamin di bawah Perlembagaan Malaysia juga selari dengan prinsip perjuangan reformasi yang didukung parti kerajaan.

“Perbezaan pandangan politik tidak sepatutnya menjadi alasan untuk mana-mana pihak menafikan hak bersuara selagi ia dilaksanakan secara bertanggungjawab dan tidak menjejaskan keamanan awam.

“Menjunjung institusi Diraja pula bukan sekadar slogan bermusim, tetapi perlu diterjemahkan melalui sikap saling menghormati dan menjaga keharmonian masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, selaras dengan kesediaan Pejabat Menteri Besar Selangor menyediakan makanan dan minuman kepada peserta himpunan, SP Care turut mengambil tanggungjawab menyediakan bantuan perubatan demi keselamatan orang ramai.

Katanya, inisiatif itu dilakukan atas dasar kemanusiaan tanpa mengira latar belakang politik, kaum atau agama.

“Dalam mana-mana perhimpunan awam, aspek kesihatan, kecemasan dan keselamatan peserta perlu diberikan perhatian sewajarnya.

“Demokrasi matang bukan hanya diukur melalui kebebasan bersuara, tetapi juga melalui keupayaan semua pihak menjaga ketertiban, mengelakkan provokasi dan memastikan tiada ketegangan tercetus dalam kalangan rakyat,” katanya.

Beliau turut menyeru semua pihak supaya menghormati undang-undang serta mengutamakan keamanan dan kesejahteraan negeri Selangor agar himpunan tersebut berlangsung dalam suasana aman dan terkawal. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast