Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari (tengah), Pengerusi TNB, Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid, Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Shamsul Ahmad dan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia, Datuk Seri Subahan Kamal bergambar kenangan bersama pemain -pemain hoki pada majlis menandatangani memorandum perjanjian (MOA) penajaan antara TNB dan KHM bagi tahun 2026-2030 di Pusat Konvensyen Leo Moggie (LMCC) TNB, Bangsar. Foto FAREEZ FADZIL, 12 MEI 2026.

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) terus memperkukuh komitmennya terhadap pembangunan sukan negara dengan memeterai kontrak penajaan baharu bersama Konfederasi Hoki Malaysia (KHM)  bernilai RM25 juta bagi tempoh 2026 hingga 2030.

Kerjasama strategik yang terjalin sejak tahun 2006 itu mencerminkan komitmen jangka panjang TNB dalam memperkukuh pembangunan hoki negara secara menyeluruh dan mampan daripada pembangunan akar umbi sehingga ke pentas antarabangsa.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Ts. Shamsul Ahmad berkata, kerjasama tersebut bukan sekadar penajaan korporat, sebaliknya merupakan pelaburan jangka panjang dalam pembangunan belia dan masa depan sukan negara.

Menurut beliau, di TNB, pihaknya percaya sukan memainkan peranan penting dalam membentuk disiplin, semangat berpasukan dan jati diri generasi muda.

“Sebab itu, sokongan kami terhadap hoki bukan sekadar tajaan korporat, tetapi satu pelaburan jangka panjang untuk pembangunan belia dan masa depan sukan negara.

“Sepanjang kerjasama dengan MHC, TNB telah menyalurkan lebih RM60 juta bagi menyokong pelbagai inisiatif pembangunan hoki negara termasuk pembangunan liga, kejohanan utama, pembangunan pemain remaja serta persiapan pasukan kebangsaan,” katanya pada majlis menandangani kontrak penajaan berkenaan di Leo Moggie Convention Centre (LMCC) di sini, hari ini.

Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari (tengah) bersama Pengerusi TNB, Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid menyaksikan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Shamsul Ahmad (tiga kanan) bertukar dokumen bersama Presiden Konfederasi Hoki Malaysia, Datuk Seri Subahan Kamal (dua kiri) pada majlis menandatangani memorandum perjanjian (MOA) penajaan antara TNB dan KHM bagi tahun 2026-2030 di Pusat Konvensyen Leo Moggie (LMCC) TNB, Bangsar. Foto FAREEZ FADZIL, 12 MEI 2026.

Majlis berkenaan disaksikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari, Pengerusi TNB, Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid dan Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal.

Melalui kerjasama itu juga, TNB terus menyokong aspirasi Visi Sukan Negara 2030 yang memberi penekanan kepada pembangunan ekosistem sukan yang inklusif, kompetitif dan berprestasi tinggi.

Bagi tahun 2025 sahaja, jumlah tajaan TNB yang disalurkan mencecah lebih RM7.6 juta melibatkan pelbagai program pembangunan hoki termasuk kejohanan antarabangsa, pembangunan akar umbi dan latihan pemain muda.

Mengulas lanjut, Shamsul berkata, usaha berkenaan selari dengan aspirasi  Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) TNB khususnya dalam aspek pembangunan sosial dan komuniti.

Menurut beliau, pihaknya percaya pembangunan sukan memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, badan sukan dan sektor korporat.

“TNB akan terus memainkan peranan aktif dalam membantu memperkukuh ekosistem hoki negara demi melahirkan lebih ramai bakat muda yang mampu membawa nama Malaysia ke peringkat lebih tinggi.

“Sebagai organisasi yang komited kepada pembangunan negara secara holistik, TNB melihat sukan sebagai platform strategik untuk memperkukuh perpaduan masyarakat, menggalakkan gaya hidup sihat dan membina generasi masa depan yang lebih berdaya saing,” katanya.

Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari (tengah) menerima jersi rasmi pasukan kebangsaan daripada Presiden Konfederasi Hoki Malaysia, Datuk Seri Subahan Kamal (kiri) pada majlis menandatangani memorandum perjanjian (MOA) penajaan antara TNB dan KHM bagi tahun 2026-2030, turut sama Pengerusi TNB, Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Shamsul Ahmad (kanan) di Pusat Konvensyen Leo Moggie (LMCC) TNB, Bangsar. Foto FAREEZ FADZIL, 12 MEI 2026.

Sementara itu, Subahan berkata, KHM amat menghargai komitmen berterusan TNB yang memainkan peranan besar dalam memperkukuh pembangunan hoki negara sejak hampir dua dekad lalu.

“Banyak kejayaan dan pembangunan bakat hoki negara hari ini tidak dapat dipisahkan daripada sokongan konsisten TNB terhadap ekosistem hoki Malaysia,” kata Subahan.

Antara kejayaan paling signifikan hasil kerjasama tersebut ialah pembangunan program akar umbi TNB Thunderbolts yang telah melahirkan lebih 100 pemain hoki kebangsaan dan senior negara.

Selain itu, program Sekolah Angkat Hoki TNB kini melibatkan tujuh buah sekolah di seluruh negara iaitu Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seberang Temerloh, SMK Anderson, SMK Pengkalan Permatang, SMK Syed Hassan dan Sekolah Tinggi Melaka.

Melalui program tersebut, pelajar bukan sahaja menerima bantuan peralatan dan kemudahan, malah turut diberikan latihan berstruktur, pendedahan pertandingan kompetitif dan pemantauan pembangunan prestasi secara berterusan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast